Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menafikan kakitangan awam perlu disingkirkan jika dikenal pasti menentang kerajaan secara terang-terangan, seperti dilaporkan Utusan Malaysia .

Akhbar itu hari ini melaporkan Presiden Cuepacs, N Siva Subramaniam sebagai berkata kakitangan awam "perlu disingkirkan" kerana "mereka boleh menggugat kestabilan kerajaan."

"Mereka (wartawan akhbar itu) tambah sahaja perkara itu," kata Siva kepada malaysiakini , menafikan beliau berkata demikian seperti ditulis pada perenggan pertama berita bertajuk "Cuepacs: Singkir penentang kerajaan" di halaman 8 akhbar tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan laporan bahawa setiap kakitangan harus menyokong dasar-dasar kerajaan dalam usaha memakmurkan negara.

"Tidak kira apa sama ada PAS yang memerintah, kakitangan kerajaan perlu bersatu-padu menyokong dasar-dasar kerajaan itu," kata Siva lagi.

Beliau mengulangi kenyataannya kepada akhbar itu bahawa konsep musyawarah perlu diamalkan sebelum sebarang tindakan tegas diambil terhadap kakitangan awam.

"Pendekatan (musyawarah) tersebut berjaya meningkatkan semula prestasi kerja kakitangan awam berbanding pendekatan tegas seperti memecat atau menggantung kerja," kata Siva, seperti dilaporkan.

Siva juga dilaporkan berkata, ketua-ketua jabatan perlu mengambil pendekatan bijak dalam menangani masalah kakitangan yang antikerajaan.

"Terdapat kakitangan yang cemburu (terhadap rakan sekerja masing-masing)," katanya lagi kepada malaysiakini , mengulas tujuan aduan "antikerajaan" dibuat terhadap sesetengah kakitangan awam.

Tambahnya, tuduhan seumpama itu "kadang-kadang tidak betul, tidak teratur".

Sementara Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G Rajasekaran berkata, isu kakitangan kerajaan terbabit menentang kerajaan terpulang kepada tafsiran masing-masing.

"Setiap individu (termasuk kakitangan awam) berhak melahirkan pendapat masing-masing," katanya kepada malaysiakini pagi tadi.

Beliau menjelaskan, tidak semestinya apabila rakyat bercakap tentang isu rasuah atau isu pembelian saham syarikat penerbangan negara MAS, mereka dianggap menentang kerajaan.

"(Bagaimanapun) semasa menjalankan tugas, mereka (kakitangan awam) perlu menyokong (usaha-usaha) kerajaan," tegasnya.