Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perwakilan Johor tuntut kerusi DUN Puteri Wangsa kekal milik Amanah

Amanah digesa menuntut kembali kerusi Dun Puteri Wangsa milik parti itu yang diserahkan kepada parti Muda pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, 12 Mac 2022 lalu.

Gesaan tersebut disuarakan perwakilan Amanah negeri Johor, Mohd Zuhan Zain yang mahu pimpinan mempertimbangkan mengambil semula kerusi tersebut yang kini disandang pemangku presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz.

"Amanah Johor menuntut agar Dun Puteri Wangsa yang dipinjamkan kepada Muda sebelum ini dikembalikan dan diletakkan sebagai status quo agar tidak dituntut oleh rakan-rakan daripada parti komponen lain.

"Kita beri kerusi itu atas dasar setiakawan untuk membentuk koalisi dalam PRN tersebut dan Muda memenangi Dun tersebut dengan bantuan rakan-rakan daripada PH," katanya ketika menyampaikan perbahasan pidato Presiden di Konvensyen Amanah Nasional 2023 di Klang, Selangor hari ini.

September lalu, gesaan turut dibuat Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang memberi kata dua kepada Muda untuk menyertai Amanah atau mengosongkan kerusi tersebut.

"Sertai Amanah atau pulangkan semula kerusi Dun Puteri Wangsa kepada Amanah dan letak jawatan. Itulah maruah sepatutnya," kata Aminolhuda, yang juga pengerusi Amanah Johor.

Dalam PRN berkenaan Amira Aisya memenangi kerusi Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi di sebalik pertembungan enam penjuru.

Cadangan tersebut turut dipersetujui Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid yang menganggap kerusi tersebut milik Amanah selepas Muda membuat keputusan untuk bergerak solo pada selepas PRU14.

"Itu adalah kerusi Amanah yang kita berikan kepada Muda, saya setuju kita kena ambil balik termasuk kerusi Muar (Parlimen) juga perlu dibincangkan balik sama ada nak diserahkan kepada parti mana dalam Pakatan Harapan," katanya.

Jawatan khas naib presiden untuk Sabah dan Sarawak

Sementara itu, Danial turut menyokong cadangan mewujudkan satu jawatan naib presiden untuk wakil daripada Sabah dan Sarawak yang diusulkan perwakilan Sarawak Andri Zulkarnanian Hamden.

"Kita ada melihat pada komposisi dalam pemuda juga, kami ke arah pelaksanaan itu, kami masih ada jawatan naib yang belum dilantik, saya setuju untuk diberikan kepada wakil daripada Sabah dan Sarawak," ujarnya.

Dia berkata melihat kepada jarak yang jauh antara semenanjung dan negeri borneo itu, dia berpendapat jika wakil dari negeri tersebut tidak dilibatkan dalam jawatankuasa, minat dan semangat serta motivasi ahli akan menurun.

Cadang gabung 50-50 pemimpin lama dan baru

Danial juga mencadangkan kepada perwakilan yang akan mengundi esok agar mengetengahkan muka-muka baharu yang berkebolehan untuk dipilih dalam barisan jawatankuasa nasional.

Katanya, dinamik kepimpinan ini mampu menghasilkan pandangan baru, berbeza dan segar dalam menerajui parti Amanah di masa hadapan.

"Mungkin boleh dipertimbangkan, 50 peratus muka lama yang sedang membarisi kepimpinan sedia ada dan 50 peratus pemimpin baru sama ada dalam kalangan orang muda ataupun muka baru yang tidak pernah dipilih dalam kepimpinan nasional sebelum ini.

"Kita ada lebih kurang 100 calon, saya lihat ada banyak muka baharu yang boleh dipertimbangkan perwakilan," ujarnya.

Tambahnya lagi, jika presiden Mohamad Sabu mengekalkan jawatannya, ia akan menjadi penggal terakhir mengikut perlembagaan parti, justeru, transisi peralihan kepimpinan perlu lancar dan kesinambungan pimpinan dalam parti dapat dijalankan dengan baik.

'Golden Era' pemuda Amanah

Ekoran dakwaan wujud kelemahan pada pemilihan pemuda Amanah nasional, Danial menganggap ia perkara lumrah dalam sesebuah pemilihan parti.

Dia mengulas bahawa sebarang aduan dan bantahan adalah normal dan menyerahkan kepada jawatankuasa parti untuk membuat keputusan, namun, pada sama dia menyuarakan keyakinan kepada barisan kepimpinan yang dibentuk dengan menggelarnya sebagai 'era emas' pemuda Amanah.

"Itu semua adalah lumrah dan proses biasa yang berlaku selepas pemilihan, saya fikir, perkara ini kita serah kepada jawatankuasa nasional untuk mempertimbangkan semua aduan itu dan saya berharap agar segala keputusan yang dibuat oleh konvensyen diterima.

"Pemuda Amanah kini mahu terus maju ke hadapan, kita ada kesepaduan yang baik dan saya rasa ini adalah golden era buat pemuda Amanah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS