PH perlu menubuhkan agensi media seperti Media Prima bagi menangani "propaganda negatif" terhadap gabungan itu, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad.

“Dalam mesyuarat Majlis Pakatan Harapan…kita mesti usaha untuk tubuhkan satu syarikat media yang boleh menyaingi Media Prima.

“Mesti ada satu dasar yang ‘intentional’ untuk nak bangunkan satu syarikat media macam Media Prima," katanya ketika berucap di Konvensyen Nasional Amanah hari ini, seperti dipetik Free Malaysia Today.

Khalid berkata platform seumpama itu dapat membantu PH berdepan dengan seteru mereka atau golongan "ghuluw (pelampau) atah khawarij" - merujuk kepada kelompok yang melabelkan orang Islam lain yang tidak berkongsi kefahaman yang sama dengan mereka sebagai sesat.

Media Prima adalah gergasi media yang mengendalikan sejumlah agensi berita di pelbagai platform, termasuk stesen televisyen, akhbar, radio, portal dalam talian dan agensi pengiklanan.

Antara syarikat besar milik Media Prima adalah New Straits Times Press, yang mengendalikan New Straits Times, Harian Metro, and Berita Harian.