PAS ucap Selamat Hari Krismas
PAS menyampaikan ucapan Selamat Hari Krismas kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Kristian semalam, dan berharap agar musim perayaan ini disambut dengan lancar dalam suasana yang selamat dan harmoni.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pelbagai acara keagamaan dan kebudayaan yang disambut di negara ini adalah "manifestasi keunggulan sikap lunak, bertoleransi dan saling menghormati sesama kita yang kukuh terjalin sejak sekian lama.
"Justeru, ia bukan sahaja perlu dipertahankan daripada kecenderungan-kecenderungan yang boleh melemahkan keunggulan sikap itu, malah perlu terus disuburkan atas kesedaran bahawa kepelbagaian yang wujud merupakan khazanah berharga masyarakat Malaysia yang menambah nilai kepada mutu kehidupan bersama kita," katanya.
Tambahnya Takiyuddin, PAS sentiasa terbuka kepada kepelbagaian itu kerana teras ajaran Islam turut merangkumi realiti sedemikian.
"Sebagai sebuah parti Islam, PAS sentiasa meraikan dan terbuka kepada kepelbagaian itu, bukan sahaja sebagai ciri istimewa masyarakat kita, tetapi juga sebagai teras ajaran Islam itu sendiri yang menerima realitinya dalam ikatan keluarga besar kemanusiaan yang meliputi semua orang dan kelompok ras, budaya mahu pun agama secara sah dan terhormat.
"Selamat Hari Krismas dan selamat bercuti," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/5829f21f83286a1ee3e4cc47e525ed96.jpg)
