Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MCA, Puteri Umno turut sertai aksi 'kepung' kedutaan AS
Diterbitkan:  Dec 26, 2023 7:53 PM
Dikemaskini: 11:54 AM

Pemuda MCA dan Puteri Umno akan turut menyertai aksi ‘Kepung demi Palestin’ selama enam hari di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, bermula 10 malam ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, timbalan ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata sayap itu bersolidariti dengan lebih 60 organisasi termasuk NGO, gerakan mahasiswa dan parti politik dalam menggesa gencatan senjata dan menghentikan kekejaman dilakukan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Palestin.

“MCA tidak mahu sebarang kemusnahan berterusan Gaza.

“Kami tidak sanggup melihat lagi rakyat Palestin diseksa atau dihancurkan dengan kejam, di mana jumlah korban kini mencecah 20,000 mangsa dan terus meningkat,” kata Chong.

Tambahnya, Pemuda MCA telah menyerahkan memorandum kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali pada 30 Okt lalu untuk menyokong gencatan senjata segera dilakukan di Gaza.

Sementara itu, dalam senarai kemas kini yang dilihat Malaysiakini hari ini, Sekretariat Solidariti Palestin kini disokong 35 NGO, 15 kumpulan pelajar dan 13 parti politik.

Antaranya termasuklah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Sisters in Islam (SIS), Bersih, Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia, gerakana-gerakan mahasiswa, Muda, PSM, Pejuang, dan sayap pemuda PAS, PKR, Amanah, Bersatu, dan DAP.

Dalam satu kenyataan semalam, Sekretariat Solidariti Palestin berkata peserta akan memasang khemah dan tinggal di khemah sepanjang piket.

Mereka juga akan mengadakan acara solidariti setiap malam dan memasang bendera serta simbol perjuangan rakyat Palestin.

Satu perhimpunan mega juga dirancang diadakan pada 31 Dis.

Jumaat lalu, harapan masyarakat dunia untuk menyaksikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengakhiri perang di Gaza menerusi resolusi gencatan senjata gagal apabila badan dunia itu hanya meluluskan resolusi berkaitan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sebelum ini, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang draf resolusi UNSC yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

AS juga dilaporkan telah menghantar lebih 10,000 tan persenjataan kepada Israel sejak negara zionis itu melancarkan serangan ke atas Gaza pada 7 Okt lalu.

Angka kematian di Gaza dilaporkan kini sudahpun melepasi 20,000 korban dengan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, warga emas dan wanita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS