Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan ‘ustaz scammer’ - penceramah saman bekas pegawai Najib 
Diterbitkan:  Dec 27, 2023 2:16 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Seorang penceramah agama dari Kodiang, Kedah, Ahmad Husam Muhamad Baderudin, memfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap empat individu, termasuk dua bekas pegawai Najib Razak.

Saman itu dikemukakan terhadap Zamil Ibrahim yang juga bekas presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita) dan serta bekas pegawai khas Najib, Muhammad Mukhlis Maghribi.

Dua lagi defendan dalam saman itu ialah Ku Muhammad Khairul Amzar Ku Ahmad dan Mohd Fairus Shaari @ Mohd Fazil.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Zain Megat & Murad, pada 14 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Dalam kenyataannya hari ini, peguamnya Muhammad Asyraf Abd Aziz berkata saman itu difailkan berikutan notis tuntutan yang dikeluarkan pada 13 November tidak mendapat respons daripada defendan-defendan. 

Husam selaku plaintif mendakwa Mukhlis dan Zamil menulis status di media sosial yang antaranya mendakwa dia seorang “ustaz scamer” dan penipu.

Menurut peguam itu, Mukhlis telah menerbitkan satu hantaran di laman Instagram beliau: “Sesiapa nak tengok Ustaz Scammer boleh pi standby kat Mahkamah Kangar esok (22/6/23) pagi, lebih kurang pukul 8.30am.”

Manakala Zamil pula menulis dan menerbitkan pelbagai kenyataan fitnah antaranya melalui satu video yang dimuat naik di Facebook dengan menuduh Husam kononnya sebagai seorang penipu, menyalahgunakan wang derma orang ramai dan wang zakat.

Muhammad Asyraf berkata, kenyataan-kenyataan fitnah itu berniat jahat bagi memberi kesan serta gambaran amat buruk bahawa plaintif seorang “penunggang agama” yang tidak amanah, penipu dan tidak boleh dipercayai.  

Selain gantirugi am RM5 juta, Husam turut memohon permohonan maaf, memadamkan tulisan yang dipertikaikan itu serta tidak mengulanginya serta ganti rugi teruk yang diputuskan oleh mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS