Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau mencadangkan supaya Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) dijadikan sebagai badan berkanun persekutuan yang ditadbir dan dipantau oleh sebuah lembaga, yang seterusnya, melapor kepada perdana menteri.

Menurut pemimpin DAP itu, ini akan meningkatkan kredibiliti dan ketelusan dalam mentadbir dana yang diperuntukkan kepadanya, memandangkan laporan tahunan mengenai perkara itu mesti dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan seterusnya akan dibentangkan di Parlimen.

V Ganabatirau

"Semua operasi Mitra akan diawasi oleh lembaga, terdiri daripada pemimpin terkemuka India.

“Saya berharap perdana menteri akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap cadangan saya bagi memastikan Mitra mencapai objektif penubuhannya,” kata Ganabatirau dalam satu kenyataan hari ini.

Dia mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa Mitra akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri dan kembali ke Kementerian Perpaduan Negara.

Bagaimanapun, Anwar memberi jaminan akan terus memantau unit khas yang bertanggungjawab menangani isu pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini.

Pengumuman itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada ahli politik dan pemimpin masyarakat India.

Anwar Ibrahim

Mengulas lanjut, Ganabatirau berkata bahawa Mitra, yang sebelum ini dikenali sebagai Unit Khas bagi Program Pembangunan Sosioekonomi (Sedic), telah dibelenggu masalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Hala tuju dan keberkesanan program yang dijalankan oleh MITRA dengan peruntukan RM100 juta adalah masih kabur dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda reformasi kepada kaum India dari segi ekonomi, pendidikan, mahupun sosial. 

Sejak penubuhan Mitra (malah sejak Sedic ditubuhkan) pelbagai masalah menyelubungi Mitra. Ketirisan peruntukan, ketidakcekapan mengurus program dan tiada ketelusan adalah antara tohmahan mahupun kesalahan yang sering diutarakan oleh ahli-ahli Parlimen dan pemimpin-pemimpin NGO India terhadap Mitra.

“Atas alasan ini, MITRA telah ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan pentadbiran MITRA. 

"Antara masalah yang melanda Mitra (dan juga Sedic) termasuk ketirisan, ketidakcekapan dalam pengurusan program, serta kekurangan ketelusan. Atas sebab inilah Mitra diletakkan di bawah PMO, untuk memastikan ketelusan dan keberkesanannya," kata Ganabatirau.

Dia seterusnya mempersoalkan mengapa agensi sosio-ekonomi sesebuah kaum yang serupa, seperti Teraju (Unit Pemandu Agenda Bumiputera), masih diletakkan di bawah bidang kuasa langsung perdana menteri.

“Apakah bezanya di antara Teraju dengan Mitra sedangkan kedua-dua agensi adalah untuk manaiktaraf sosio-ekonomi kaum masing-masing?

“Adakah kita meletakkan Teraju di bawah Kementerian Perpaduan Negara?” soalnya

Ganabatirau seterusnya mengingatkan bahawa sekiranya Mitra masih diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara, ia boleh mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan kaum India yang telahpun terkilan dengan pelbagai isu dan janji yang masih belum ditunaikan. 

“Sokongan kaum India boleh menjadi penentu kepada kejayaan kerajaan perpaduan.  Jangan kita tidak endahkan!” katanya.

[Baca berita penuh]