PAS melahirkan rasa hairan parti itu terhadap sikap ditunjukkan Ngeh Koo Ham di sebalik kedudukan Ahli Parlimen Beruas itu sebagai anggota parti dalam kerajaan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata sebagai penyokong kerajaan Ngeh kelihatan tidak peka langsung terhadap proses dan prosedur yang diambil Putrajaya berhubung kajian dibuat jawatankuasa khas mengkaji kompetensi dewan undangan negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Katanya Ngeh jelas tidak berhati-hati semasa membuat kenyataan tersebut bahkan sengaja cenderung untuk menimbulkan kontroversi serta konflik.

"Ini hanya boleh ditafsirkan sebagai satu lagi siri kegagalan kerajaan dalam mengawal naratif anggotanya sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Ngeh mengemukakan cadangan agar pakar undang-undang bukan Islam dilibatkan dalam jawatankuasa terbabit yang kini menjalankan kajian mengenai tahap kompetensi DUN menggubal sesuatu enakmen berkaitan Islam.

Ia ditubuhkan susulan isu keabsahan enakmen yang digubal di peringkat negeri serta percanggahan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan berkenaan mendapat pelbagai reaksi dengan kebanyakannya menunjukkan rasa kurang senang terhadap saranan Ngeh.

Malah DAP sendiri hari ini menyatakan Ngeh terkhilaf dalam pandangannya berkaitan punca kuasa jawatankuasa tersebut.

Takiyuddin berkata kenyataan bersifat provokatif dibuat Ngeh itu boleh menyebabkan kesan yang tidak baik di negara ini.

"Untuk kesekian kalinya PAS juga memberi peringatan bahawa tindakan berterusan sebegini berpotensi mencetuskan polemik dan ketidakharmonian berpanjangan mengikut garis kaum dan agama," katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menambah, semua pihak sepatutnya bersyukur kerana - selaras dengan ajaran Islam itu sendiri - sehingga kini masyarakat majoriti di negara ini tidak pernah menimbulkan suasana konfrontasional atau dilihat mencampuri urusan mana-mana agama lain.

"Sikap yang sama haruslah bertimbal-balik dan menjadi pegangan serta amalan semua pihak.

"Tindakan sebaliknya hanya akan merosakkan keharmonian yang ada dan seterusnya menjadi bom jangka yang boleh memusnahkan semua," katanya.