Pemuda MCA mempersoalkan tindakan DAP yang disifatkan berterusan mahu mencabar sensitiviti kaum dan agama di negara ini.

Ketua penerangannya, Neow Choo Seong berkata, ini kerana DAP kebelakangan ini semakin berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan sensitif berkaitan agama, bangsa dan institusi Diraja (3R).

Dia merujuk tindakan Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham yang menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

"Setelah lebih enam dekad Malaysia merdeka, adakah Ngeh tidak faham Perlembagaan Persekutuan di mana undang-undang syariah hanya terpakai kepada orang Islam?

"Sampai bila DAP mahu menduga kesabaran serta mencabar sensitiviti kaum dan agama yang hanya akan membawa lebih banyak musibah daripada kebaikan?” soal Neow dalam kenyataan media hari ini.

Ngeh baru-baru ini menyarankan kerajaan melantik pakar daripada kalangan bukan Islam untuk membantu jawatankuasa khas bagi mengkaji kompetensi dewan undangan negeri menggubal undang-Undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

Ahli Parlimen Beruas itu juga mengingatkan bahawa perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, justeru sebarang perubahan mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Cadangan Ngeh itu mengundang kecaman keras daripada kedua-dua blok politik, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Ngeh terkhilaf apabila mengemukakan cadangan tersebut memandangkan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan bukan ditentukan oleh jemaah menteri tetapi oleh Majlis Kebangsaan Hal-ehwal Agama Islam (MKI)

Semalam Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengingatkan golongan bukan Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam.

Mengulas lanjut, Neow berkata DAP seharusnya fokus terhadap usaha-usaha menambah baik urusan pentadbiran negara dan menjaga kebajikan rakyat selaras dengan hasrat kerajaan Madani di bawah kepimpinan perdana menteri, Anwar Ibrahim.

Katanya, parti itu juga harus menunjukkan teladan yang baik dalam menjaga hati semua kaum serta mengutamakan semangat perpaduan dalam kepelbagaian seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan BN terdahulu.

"Perpaduan negara yang terbina selama ini oleh kerajaan BN perlu dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan negara. Sudah-sudahlah bermain dengan isu sensitif.

"Jika ada perkara yang hendak dibangkitkan dan ikhlas, gunalah saluran yang betul iaitu secara tertutup. Tambahan pula DAP kini berada dalam Kabinet kerajaan," katanya.