Cuaca mendung dan hujan tidak mematahkan semangat peserta piket Solidariti Palestin yang memasuki hari kelima di hadapan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur.
Salah seorang peserta yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Sejagat, Syed Sheik, 34 dipetik Bernama berkata walaupun menghadapi beberapa kesukaran seperti keperluan tandas, cuaca buruk dan sebagainya, namun sokongan masyarakat sekitar menguatkan semangat mereka untuk meneruskan piket.
Menurutnya, selain kata-kata semangat orang ramai, ada juga individu yang menghantar makan kepada peserta piket berkenaan.
“Kesukaran kami di sini hanya sedikit jika dibandingkan dengan penderitaan saudara kita di Palestin,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dia yang juga Sekretariat Solidariti Palestin berkata acara kemuncak piket itu malam esok akan menampilkan pelbagai aktiviti antaranya pameran kebudayaan Palestin, jualan buku, ceramah, puisi, persembahan muzik dan seni.
Seorang lagi peserta M Mythreyar, 45, dipetik Bernama berkata ini bukanlah kali pertama dia menyertai solidariti untuk Palestin.
Katanya walaupun bukan beragama Islam, tetapi atas semangat perikemanusiaan dan tidak sanggup melihat rakyat Palestin terus ditindas, beliau hadir sebagai rakyat Malaysia untuk terus memberi tekanan kepada Israel dan sekutunya.
“(Pada pandangan saya) Apa yang berlaku di Palestin bukanlah peperangan, tetapi ia adalah satu bentuk penghapusan etnik,” katanya yang sanggup datang berkampung di situ dari Tanjung Malim, Perak.

Piket itu adalah inisiatif rakyat Malaysia yang prihatin dengan perang di Gaza.
Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh sejak tercetusnya konflik Israel-Palestin di Gaza pada 7 Okt lepas hingga kini.
Menurut SSP, piket itu adalah simbolik kepada pengepungan di Gaza dan mereka juga menuntut dihentikan pembunuhan rakyat Palestin dan gencatan senjata segera.
Perhimpunan itu melibatkan sejumlah 48 NGO yang terdiri daripada pertubuhan masyarakat, belia dan pelajar, serta pelbagai kumpulan politik.
