Polis Pulau Pinang menembak mati seorang lelaki yang terlibat dalam kes samun bersenjata dan mempunyai 16 rekod jenayah lampau dalam kejadian berbalas tembakan di Machang Bubok, Bukit Mertajam, tengah malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata pihak berkuasa pada mulanya mengesan sebuah kenderaan jenis Proton X70 dalam keadaan mencurigakan menghala ke Sungai Lembu kira-kira jam 12.35 tengah malam.

"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan terbabit, namun lelaki terbabit terus memecut laju untuk melarikan diri dan pada masa sama melepaskan tembakan.

"Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta dipandu lelaki itu untuk mempertahankan diri, tetapi dia memecut laju.

"Selepas pasukan kami mengejarnya kira-kira 200 meter, kenderaan suspek terbabas ke tepi jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Khaw berkata lelaki itu kemudian keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah polis sebelum pihak polis membalas tembakan dan terkena suspek.

Menurutnya lelaki terbabit meninggal dunia di tempat. Pemeriksaan awal mendapati suspek berumur 44 tahun dan beralamat di Pulau Pinang itu terlibat dalam beberapa jenayah samun di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka.

Khaw berkata semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspak adalah palsu.

Selain samun, katanya, suspek juga pernah ditahan kerana terlibat dengan kes dadah, kesalahan melibatkan Akta Senjata Api dan Bahan Kakisan serta pernah dikenakan tindakan menurut Ordinan Darurat.

"Polis percaya penjenayah ini amat berbahaya kerana turut memiliki senjata api. Semakan mendapati senjata digunakan ialah jenis separa auto," katanya.

Menurut Khaw siasatan awal mendapati suspek bergerak secara solo ketika melakukan jenayah samun dan mengacukan pistol ke arah mangsa bagi tujuan menakut-nakutkan mereka.

- Bernama