GLOBAL | Pihak berkuasa pilihan raya di Pakistan menolak kertas pencalonan bekas perdana menteri negara itu, Imran Khan, untuk menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurut Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), Imran Khan menyerahkan borang untuk bertanding dalam PRU pada 8 Feb dari tiga kawasan pilihan raya iaitu di Lahore, Mianwali dan Islamabad.

Memetik kenyataan seorang pemimpin parti itu, Khurram Sher Zaman, Agensi Anadolu melaporkan kertas pencalonan bekas bintang kriket berusia 71 tahun dari Lahore dan Mianwali telah ditolak.

PTI berkata hampir 90 peratus daripada kertas pencalonan pemimpin tertinggi termasuk Imran Khan ditolak.

Parti itu menuduh jentera kerajaan digunakan untuk memudahkan pesaing termasuk bekas perdana menteri Nawaz Sharif, yang kembali selepas hidup dalam buangan selama empat tahun pada Okt lalu.

Mengutuk langkah itu, pengerusi parti Gauhar Khan berkata jentera kerajaan sedang dikerah sepenuhnya menentang calon PTI.

Dia juga meminta pekerja dan penyokong parti untuk tidak putus asa.

Sementara itu, pasukan peguam PTI akan mencabar keputusan pihak berkuasa pilihan raya di mahkamah.

Kedua-dua bekas perdana menteri Pakistan itu menyerahkan kertas pencalonan mereka, walaupun telah hilang kelayakan daripada bertanding dalam pilihan raya.

Borang pencalonan Nawaz bagaimanapun diterima.

Imran Khan dipenjarakan pada Ogos lalu terkait kes rasuah dengan pemimpin itu dituduh menjual hadiah milik kerajaan secara tidak sah.

- Bernama/Anadolu