Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS gesa tindakan diambil terhadap Ngeh berkait isu 3R
Diterbitkan:  Dec 31, 2023 5:56 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

PAS menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham kerana mengeluarkan kenyataan berkaitan isu 3R (kaum, agama dan institusi raja (3R).

Ini susulan cadangan pemimpin DAP itu agar orang bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan terhadap pemimpin DAP itu perlu bagi memadamkan persepsi bahawa tindakan membabitkan isu 3R hanya terpakai kepada pemimpin PN sahaja.

"DAP sekali lagi menunjukkan taring dalam kerajaan PH-BN apabila mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti urusan agama Islam.

"Walaupun Koo Ham telah menyatakan maaf dan YB Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP mengatakan kenyataan Ngeh Koo Ham ini adalah kenyataan peribadi, rakyat telah mengenali sikap DAP yang tidak pernah diam menyentuh dan mencampuri urusan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim turut membangkitkan kenyataan Ngeh di parlimen tahun ini berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara.

"Lebih celupar lagi, beliau juga pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014 lalu.

"Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan- kenyataan seperti ini yang seolah- olah mendapat restu mereka yang berkehendakkan kelangsungan kuasa,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim perlu lebih tegas menegur DAP supaya menghentikan perbuatan seumpama itu.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sepatutnya bagi memadamkan persepsi rakyat bahawa isu 3R ini hanya terpakai kepada Perikatan Nasional sahaja. Namun, sekiranya melibatkan PH-BN-DAP disenyapkan,” ujarnya.

Ngeh semalam memohon maaf atas cadangannya agar pakar perlembagaan dari kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Katanya, dia tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas tersebut telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam di negara ini.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa MKI yang dipengeruskan baginda memegang amanah dan bertanggungjawab untuk melaksanakan semua hal ehwal berkaitan umat Islam, serta dianggotai pakar dalam pelbagai bidang, khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Lihat Komen
ADS