Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang lebih dikenali sebagai Papagomo, bersedia untuk membuktikan dakwaannya di mahkamah bahawa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberi ceramah politik di sebuah masjid di Rawang.

Papagomo mengemukakan justifikasi dalam pembelaannya terhadap saman fitnah yang diajukan oleh ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Menurut defendan, bahawa dia mempunyai akses kepada pelbagai laporan media dalam talian serta gambar di media sosial yang didakwa menunjukkan ceramah plaintif di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor, pada 31 Julai, tahun lalu.

Azri turut mendakwa terdapat siasatan dan aduan dibuat oleh beberapa pihak berkenaan dakwaan ceramah politik Fahmi di tempat ibadah.

"Ini menunjukkan terdapat kebenaran dan/atau sebahagiannya adalah fakta yang secara substantifnya benar dalam maksud lazim dan kebiasaannya berkenaan dengan perkara tersebut.

"Defendan menyatakan bahawa defendan mempunyai tanggungjawab selaku rakyat untuk menyuarakan apa-apa isu berkenaan sebarang salah guna kuasa (jika ada) dan menyuarakan tentang kebimbangan rakyat yang melibatkan secara langsung atau tidak langsung kepentingan orang ramai secara umum.

"Defendan percaya fakta yang dinyatakan di atas adalah benar (yang mana dipercayai adalah benar) dan mempunyai asas serta justifikasi yang sah," kata Azri dalam pembelaan terhadap saman atas beberapa posting dalam talian dan video bertarikh 8 Ogos, tahun lalu.

Defendan turut membangkitkan isu sama ada plaintiff mempunyai kedudukan undang-undang (locus standi) untuk mendengar saman fitnah atas kapasiti peribadi.

Azri mengatakan hal ini kerana kata-katanya yang didakwa sepenuhnya dan/atau sebahagiannya berkaitan dengan tindakan Fahmi dalam menjalankan tugas rasmi sebagai menteri.

"Oleh itu, tindakan ini secara keseluruhan dan/atau sebahagiannya bukan tindakan yang boleh dibawa oleh Plaintiff atas kapasiti peribadinya (sama ada keseluruhan atau sebahagiannya)," dakwa defendan.

Sementara itu, peguam Azri, Logen Eskander, mengesahkan pemfailan pembelaan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Disember tahun lalu, ketika dihubungi oleh Malaysiakini, baru-baru ini.

Fahmi Fadzil

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi mewakili pihak Fahmi.

Pada 5 September tahun lalu, ahli Parlimen Lembah Pantai mengemukakan saman fitnah berkenaan dakwaan ceramah politik di masjid bukan hanya terhadap Wan Azri tetapi juga terhadap penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook "N13 Kuang", Mohd Fauzan Madzlan berhubung isu sama.

Bernama melaporkan kenyataan tuntutan Fahmi yang mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.

Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos lalu.

mosque

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik.

Dia mendakwa kenyataan itu bertujuan mencemarkan nama baiknya demi meraih publisiti murahan atau menimbulkan sensasi dalam arena politik negara serta mencemarkan nama baiknya sebagai ahli parlimen dan menteri.

Fahmi berhujah surat tuntutan telah dihantar kepada tiga individu untuk mereka menarik balik kenyataan berunsur fitnah, membayar ganti rugi dan menerbitkan permohonan maaf, tetapi tidak ada yang melakukan seperti yang diminta.

Dia menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan injunksi untuk menghalang defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penyiaran semula kenyataan itu.

Fahmi juga mahu ketiga-tiga defendan menarik balik kenyataan daripada akaun media sosial mereka dan mengeluarkan permohonan maaf melalui semua media massa dan media dalam talian, dengan dirinya mesti bersetuju terhadap kandungan permohonan maaf itu.

[Baca berita penuh]