Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembebasan Tan Sri Eric Chia semalam menjadi satu lagi bukti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal mengotakan janjinya untuk memerangi gejala rasuah.

Katanya, kesungguhan mahkamah untuk membuktikan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Eric Chia, langsung tidak munasabah memandangkan wujud bukti salahlaku yang jelas dalam kes tersebut.

"Mutu siasatan yang dijalankan terhadap skandal serius ini juga amat mengecewakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Anwar berkata, beliau telah mengumpulkan fakta yang cukup lengkap sebagai bukti rasuah dan penyelewengan berdasarkan laporan audit Price Waterhouse Coopers.

Pilihanraya awal

Anwar berkata, dengan rekod sistem kehakiman negara yang telah tercemar, memang tidak mengejutkan bahawa perbicaraan ini akan berakhir dengan pembebasan "selepas sandiwara yang begitu berpanjangan".

Beliau juga mendakwa, apabila wujud bukti rasuah yang jelas dan tidak dapat dipertikaikan, Peguam Negara telah mengenepikannya - kesalahan di mana Peguam Negara dan Ketua BPR sepatutnya meletak jawatan atau disiasat segera.

"Ketika kita di ambang apa yang dijangkakan pilihanraya awal, rakyat Malaysia sepatutnya memahami niat dan matlamat kerajaan Barisan Nasional dengan jelas.

"Rasuah masih lagi cara pilihan kita, dan retorik anti-rasuah hanyalah untuk digunakan untuk kempen politik tetapi akan dilupakan apabila melibatkan kepentingan mereka sendiri," katanya.

"Pada masa yang sama, kita boleh menjangkakan berbilion-bilion ringgit yang diselewengkan daripada Perwaja dan lain-lain skandal, wang yang sepatutnya diperuntukkan untuk membasmi kemiskinan, pendidikan dan kesihatan akan terus berada di dalam kocek perasuah dan penjenayah di negara kita," katanya.