Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tak bercadang tangguh proses pendaftaran Padu
Diterbitkan:  Jan 3, 2024 5:08 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Proses pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) tidak akan ditangguhkan memandangkan beberapa isu teknikal yang dibangkitkan telah diselesaikan segera, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap kerajaan perpaduan berkata perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

“Jemaah menteri tidak memutuskan sedemikian (tangguh Padu). Pada waktu ini kerajaan mendapati sistem Padu berjalan lancar dengan isu yang dibangkitkan berjaya diselesaikan dalam jangka masa singkat.

“Pemantauan tentang aspek keselamatan terus dilakukan, jadi tidak timbul isu untuk ditangguhkan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Fahmi mengulas gesaan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming, agar kerajaan menangguhkan proses pendaftaran Padu sehingga beberapa kelemahan keselamatan diatasi

Fahmi berkata isu teknikal dan keselamatan khususnya data peribadi, sentiasa dititikberatkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta pasukan Padu.

Katanya jemaah menteri turut dimaklumkan tentang aspek keselamatan siber yang menjadi keutamaan dalam sistem itu.

Dia berkata CyberSecurity Malaysia (CSM) terlibat sebelum Padu dilancarkan bagi membantu Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenal pasti kerentanan pada sistem tersebut.

Katanya CSM akan terus mengadakan pertemuan bersama DOSM serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) supaya proses menambah baik sistem diteruskan.

“Saya menyarankan semua rakyat yang berhasrat untuk mendapatkan bantuan kerajaan agar mengisi serta mendaftar dalam sistem Padu. Jangan risau dan gunakan (Padu) tanpa was-was kerana isu yang dibangkitkan sentiasa dipantau.

“Kerajaan memandang serius isu keselamatan data peribadi dan menjamin tidak berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini,” katanya.

Sistem Padu yang dilancarkan semalam oleh perdana menteri, dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Fungsi utama Padu ialah membantu rakyat mengemas kini dan membolehkan kerajaan membuat penyasaran bantuan secara tepat, selain menghentikan ketirisan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS