Dalam keadaan yang langka, Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada cadangan dikemukakan anggota kerajaan perpaduan.

Mengulas isu keberadaan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Gerakan berkata, mereka menyokong saranan dibuat ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi agar agensi itu dirombak.

Presiden Gerakan, Dominic Lau, berkata agensi terbabit kini lebih sibuk menjadi alat propaganda kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbanding memberi penerangan mengenai dasar kerajaan.

"Ia dapat difahami kerana terlalu banyak isu pada hari ini sehingga sukar bagi J-Kom untuk membuat damage control bagi pihak kerajaan," kata Lau kepada Malaysiakini.

Pun begitu dia berasa sangsi langkah merombak itu akan memberi kesan positif kepada negara.

"Rombaklah beribu kali pun, tidak akan ada sebarang perubahan yang baik kerana matlamat asal penubuhan J-Kom telah lama menyimpang.

"Sebab itu jika fungsi utama J-Kom ialah untuk membantu PMX (Anwar), lebih baik kita tutup dan wang pembayar cukai dapat dijimatkan.

"Selama ini kita sudah ada Jabatan Penerangan bagi tujuan menjelaskan dasar kerajaan," katanya lagi.

Lantik DAP jadi ketua

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, yang dihubungi Malaysiakini turut berpendapat agar J-kom dibubarkan, bukannya dirombak, kerana ia berfungsi sebagai alat propaganda kerajaan semata-mata.

Pada masa sama dia menggesa supaya pihak berkuasa menyiasat pegawai J-Kom yang membuat dakwaan mengenai 'Langkah Dubai' kerana ia boleh menjauhkan pelabur, merugikan negara serta menimbulkan keresahan rakyat.

"Dakwaan sebegitu boleh terkait dengan isu 3R (kaum, agama dan raja), kerana menghuru-harakan negara dan menakutkan rakyat.

"Jika inilah tahap unit propaganda kerajaan, saya fikir tak ada pun tak apa," katanya.

Razali Idris

Razali turut mengulangi kenyataannya bahawa dia tidak mengetahui langsung tentang sebarang langkah yang dibuat pihak pembangkang, khususnya Bersatu, untuk menjatuhkan kerajaan di luar pilihan raya.

"Kebanyakan pemimpin PN berada dalam negara, hanya beberapa orang saja yang bercuti (di luar negara), jadi, kita langsung tak tahu mengenai adanya langkah ini," ujarnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berpendapat, jawatan ketua pengarah J-Kom wajar diisi oleh tokoh dari DAP kerana mereka 'lebih memahami' agenda kerajaan.

Mencadangkan idea berkenaan secara sinis, dia berkata pelantikan tersebut wajar jika kerajaan mahu mengekalkan keberadaan J-Kom.

Afnan Hamimi Taib Azamudden

"Kalau mereka hendak pertahan J-Kom, saya cadang lantik (ahli) DAP sebagai ketua pengarah, barulah segala 'agenda' sebenar kerajaan akan terlaksana," katanya ketika dihubungi semalam.

Beberapa hari lalu Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusop, mendakwa satu pertemuan sulit didalangi pemimpin parti pembangkang dan ahli parlimen kerajaan diadakan di Dubai bagi membincangkan strategi menjatuhkan kerajaan.

Bagaimanapun, PN dan beberapa ahli parlimen BN yang didakwa terbabit menafikan mereka terlibat dalam gerakan tersebut.

Susulan isu tersebut, Mohd Puad menggesa agar J-Kom dirombak secara menyeluruh kerana membuat “analisis cetek” sehingga ' menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil sikap defensif.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil - yang kini menyelia J-Kom - semalam memberitahu berkata kerajaan memang berhasrat untuk merombak jabatan berkenaan.