Tiga kakitangan Harakahdaily yang direman dua hari atas dakwaan menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam kelmarin mendakwa laporan polis yang dibuat ke atas mereka sebagai "tidak menggambarkan kejadian sebenar."

Seorang daripada mereka, Suffi Kamari, berkata mereka diundang wakil NGO Ummah, Mohd Zai Mustafa, bagi menghadiri pertemuan di antara penduduk Kampung Sungai Sireh di Klang bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkaitan isu pengambilan tanah untuk projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

"Saya menafikan kandungan dalam laporan polis terbabit (dan) fakta dalam laporan itu adalah palsu dan tidak menggambarkan kejadian sebenar," katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Tambah Suffi dia sudah memaklumkan tujuannya datang kepada pegawai bertugas dan dibenarkan memasuki premis terbabit.

Katanya dia berada dalam pertemuan tersebut serta sempat bersalaman dengan Amirudin tanpa sebarang provokasi.

Apabila pertemuan tersebut berakhir, dakwa Suffi, dia dipanggil seorang pegawai keselamatan yang kemudian menuduh dia dan dua individu lain menceroboh.

Kelmarin Malaysiakini melaporkan polis menahan tiga lelaki dan diberi kebenaran menahan reman mereka selama dua hari bagi membantu siasatan kes menceroboh.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 3 bulan atau denda yang RM1,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Menjelaskan insiden tersebut Mohd Iqbal berkata suspek berusia antara 31 tahun hingga 35 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kata Suffi dia juga sudah membuat laporan polis bagi membersihkan nama mereka serta memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap laporan yang didakwanya palsu.

Sementara itu pada sidang media sama, Ketua Pegawai Operasi Harakah, Nadzir Helmi, mendakwa Sufi dan dua lagi kakitangan media rasmi PAS itu hadir atas kapasiti Ummah.

“Apa yang berlaku pada hari tersebut ialah, Suffi Kamari serta dua orang lagi staf Harakah telah hadir ke mesyuarat tersebut atas jemputan penduduk Kg Sungai Sireh itu sendiri serta atas kapasiti NGO Ummah yang merupakan antara NGO paling tegas memperjuangkan hak penduduk Kg Sungai Sireh.

“Mereka sebenarnya tidak menceroboh tanpa izin, sebaliknya telah dibenarkan masuk ke kediaman rasmi MB,” kata Nadzir.