Format baharu untuk pengisytiharan aset sedang dirangka selaras dengan matlamat kerajaan untuk menggalakkan ketelusan.
Garis panduan baharu juga telah diberi kelulusan untuk memastikan pelantikan badan berkanun tidak terbabit dalam rasuah.
Dalam satu kenyataan, hari ini Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata pengisytiharan aset untuk "anggota pentadbiran" dan ahli parlimen itu akan dikuatkuasakan semula, dan format baharu itu akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri dalam masa terdekat.
Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan ahli pentadbiran sebagai menteri, timbalan menteri, serta setiausaha parlimen dan politik mereka.
Keputusan untuk menguatkuasakan semula pengisytiharan aset dibuat pada jawatankuasa khas kabinet mengenai tatakeola nasional hari ini.
Kali terakhir pengisytiharan aset oleh ahli parlimen dan menteri didedahkan kepada umum adalah semasa pentadbiran Pakatan Harapan yang pertama.
Semasa kempen pilihan raya umum ke-15, PKR juga mewajibkan pengisytiharan aset buat semua calon mereka secara terbuka.
Anwar Ibrahim sendiri ketika itu mengisytiharkan aset bersih sebanyak RM11.18 juta.
Tahun lalu, selaku perdana menteri, Anwarmenyifatkan sistem iystiha harta sebelum ini sebagai "lawak" dan tidak menggambarkan kekayaan sebenar mereka yang berbuat demikian.
Sementara itu, selain format baharu pengisytiharan aset, PMO berkata jawatankuasa khas kabinet yang bersidang pada hari ini turut meluluskan garis panduan baharu mengenai pelantikan pengerusi dan pengarah badan berkanun.
Antaranya, pelantikan baharu perlu ditapis oleh SPRM, Jabatan Insolvensi dan polis.
Selain itu, kerajaan juga mahu memperkasakan audit dalaman badan berkanun, selain menambah baik tadbir urus, struktur dan komposisi lembaga pengarah.
