Sebanyak 13 laporan polis telah dibuat Pemuda PKR (AMK) di peringkat negeri terhadap dakwaan yang dibuat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan blogger Raja Petra Kamaruddin berhubung rancangan menjatuhkan kerajaan.

Dalam kenyataan di Facebook semalam, AMK berkata laporan polis telah dibuat oleh kepimpinan pusat serta MK Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Penang, Kelantan, Perlis, Terengganu, Kedah, Melaka dan Sabah.

"Tujuan laporan polis dilakukan adalah bagi menyiasat pendedahan Raja Petra yang mendakwa satu komplot sedang diusahakan dengan mengumpul akuan berkanun (SD), selain kenyataan Sanusi yang memperakui komplot itu.

"Justeru, gesaan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat gerakan yang jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan dijalankan ke atas individu yang berkaitan.

"Perdana menteri sendiri berulang kali menyatakan dia terbuka untuk diuji (keabsahan) di Parlimen dan kita lihat sepanjang sesi perbahasan berlangsung (tahun lalu), tidak ada satu pun usul yang ditolak atau tidak diluluskan (sekiranya majoriti telah tiada)," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS mendakwa pihak pembangkang telah berjaya memperoleh SD yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan persekutuan.

Dakwaan sama turut dibuat oleh Raja Petra, walaupun semakan mendapati dakwaan dan dokumen yang dipamerkan terdapat percanggahan yang menimbulkan persoalan.