Yang masuk PKR lebih ramai daripada yang keluar, kata Syed Husin
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata, jumlah mereka yang menyertai parti itu adalah lebih ramai daripada yang meninggalkannya.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata, jumlah mereka yang menyertai parti itu adalah lebih ramai daripada yang meninggalkannya.
Oleh itu, kata beliau, tindakan beberapa bekas pemimpin meninggal parti itu tidak menjejaskan perjuangan PKR.
"Mereka yang keluar dua tiga orang sahaja tetapi yang masuk menjadi ahli beratus dan beribu orang...yang dilapor orang keluar, yang masuk tidak dilapor," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti di ibu negara hari ini.
Dr Syed Husin merujuk kepada bekas ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Ezam Mohd Noor yang keluar parti 4 April lalu. Sebelum itu, bekas bendahari PKR, Abdul Rahman Othman juga keluar parti dan memohon menyertai PAS Subang Jaya.
"Kita (parti) tidak ambil peduli dengan apa yang dikatakan oleh Ezam. Terpulang kepada beliau (Ezam) untuk membuktikan kata-katanya itu tetapi parti tetap kuat," katanya, sambil menambah bahawa "Ezam sudah keluar parti enam bulan lalu".
Mengenai isu Datuk S Nallakarupan yang turut keluar PKR, Dr Syed Husin berkata, bekas ketua PKR bahagian Kepong itu mengambil 2,000 borang tetapi yang telah mendaftar sebagai ahli hanya 136 orang.
Ucap terima kasih
Dr Syed Husin mendakwa, jumlah ahli PKR sekarang ialah 136,000 orang.
Timbalan Presiden PKR itu bagaimanapun, mengucapkan terima kasih dan selamat jalan kepada bekas pemimpin parti dan sesiapa yang memberi sumbangan dan khidmat sepanjang berada dalam PKR.
Tetapi, katanya, mereka hendaklah ikhlas kepada diri sendiri dan jangan cuba memberi alasan yang 'mereka sendiri tahu tidak benar dan dusta'.
"Sejarah menunjukkan sebuah parti yang berjuang, pemimpin datang dan pergi. PKR akan terus berjuang dan berpegang kepada prinsip perjuangan seperti yang digariskan dalam perlembagaan parti," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim yang hadir sama dalam sidang media tersebut berkata, parti tidak boleh menghalang bekas pemimpinnya meninggalkan parti.
Katanya, mereka meninggalkan parti kerana merasakan perjuangan parti tidak lagi sesuai dengan mereka.
Agenda reformasi
"Mereka penting kepada parti tetapi tidak boleh sekat hak mereka (untuk keluar)... tetapi tidak ada perubahan besar dari segi sokongan rakyat kepada parti," katanya.
Dalam kes Abdul Rahman pula, Khalid berkata, bekas bendahari PKR itu sudah memulakan langkah 'apa yang mahu diambilnya' sejak enam bulan lalu, sebaik melepaskan jawatan bendahari dan tidak lagi mengikuti perkembangan parti.
Khalid berkata, beliau tidak pasti mengenai angka sebenar bilangan masyarakat India yang dibawa oleh Nalla menyertai PKR. Nalla sebelum ini mendakwa membawa masuk ribuan ahli India dalam PKR.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amiruddin Shaari pula berkata, kepimpinan parti akan meneruskan agenda reformasi yang dimulakan pada 1998 dan diteruskan sehingga hari ini.
Katanya, PKR merupakan parti yang terbaik untuk meneruskan agenda rakyat yang mahukan demokrasi tulen dan kesaksamaan untuk semua.
Beliau berkata, parti tidak terpengaruh, melatah atau gundah dengan tuduhan yang dilemparkan oleh bekas-bekas pemimpin yang meninggalkan parti itu.

