Sapaeing Basoe pemimpin kumpulan pemisah paling dikehendaki di Thailand dilaporkan mengadakan dua pertemuan rahsia dengan wakil kerajaan negara itu di Kelantan dan ianya memang disedari oleh kerajaan Malaysia.

Dalam laporannya, akhbar Kom Chan Luek berkata, Sapaeing pemimpin pergerakan Barisan Revolusi Nasional-Coordinate (BRN-C) juga mahukan supaya mesyuarat berikutnya dihadiri oleh Perdana Menteri Thailand Surayud Chulanont, dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi orang tengahnya.

Akhbar itu melaporkan, mesyuarat di Kelantan itu tidak membuahkan hasil konkrit yang boleh mengakhiri konflik selatan yang memuncak, selepas beberapa tuntutan anggota kumpulan pemisah berkenaan tidak dapat dipenuhi, demikian menurut laporan Bernama.

Antaranya, kerajaan Thailand tidak dapat menerima tuntutan supaya wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani yang majoriti didiami kaum Muslim, diberikan kemerdekaan, namun ia bersedia menimbangkan usaha memberikan pengampunan kepada anggota kumpulan pemisah.

Menurut akhbar tersebut lagi, seorang lagi anggota utama kumpulan pemisah, Masae Useng, menghadiri pertemuan rahsia di Kelantan itu yang dikoordinasi oleh Presiden pergerakan Bersatu, Wan Kadir Che Wan.

Laporan itu juga menyebut, kumpulan pemisah itu mahukan supaya mesyuarat diadakan hanya di Kelantan bagi mengelak laporan media yang terlalu luas.

Ramai terkorban

Akhbar itu turut melaporkan bahawa Sapaeing berkata keganasan tidak dapat dihentikan sepenuhnya walaupun satu persetujuan dicapai memandangkan ada beberapa kumpulan kecil terbabit dalam konflik itu.

Lebih 2,300 nyawa sudah terkorban dalam keganasan harian di tiga wilayah majoriti Muslim yang bergolak itu, dalam perjuangan kumpulan pemisah menuntut kemerdekaan.

Semalam akhbar Thai Post melaporkan Sapaeing kini berkhidmat sebagai penasihat dengan syarikat minyak Malaysia, Petronas, dengan pendapatan RM10,000 sebulan.

Bagaimanapun, Panglima Tentera Darat Thailand, Jeneral Sonthi Boonyaratglin, berkata beliau tidak yakin dengan laporan akhbar.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, Sapaeing dilaporkan mendapat pekerjaan itu hasil perakuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga penasihat Petronas.

Dia menghilangkan diri dua tahun lalu selepas pihak berkuasa Thailand menahan beberapa guru di sekolahnya kerana dipercayai menjadi militan.