Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga MP Bersatu sokong PM nafi diajak sertai 'Langkah Dubai'

Tiga ahli parlimen yang baru-baru ini mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menegaskan mereka tidak menerima sebarang tawaran menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menukar kerajaan, di tengah-tengah spekulasi 'Langkah Dubai'.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman menegaskan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

"Saya tak terima apa-apa (tawaran tandatangan) SD dan saya kekal komited menyokong perdana menteri," kata Mohd Azizi (gambar atas).

Suhaili pula menegaskan dia tidak akan membuat pusingan U sama sekali dalam soal tersebut.

"Ya, sokongan saya 100 peratus terhadap PMX (perdana menteri ke-10).

"Tiada pusingan U lagi bagi saya, 100 peratus sokong PMX,' ujarnya kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman.

Sementara itu Zahari juga menyatakan dia tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan perpaduan.

"Setakat ini tiada (tawaran), dan saya akan terus istiqamah menyokong PMX," katanya ringkas melalui mesej aplikasi WhatsApp.

Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik

Untuk rekod, ketiga-tiga mereka merupakan antara lima anggota parlimen daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar sebelum ini.

Dua lagi daripada mereka adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Sejak beberapa hari lalu sesetengah pemimpin PN mendakwa mereka sudah bersedia mengambil alih kerajaan kerana mendapat jumlah yang mencukupi bagi membentuk majoriti di Dewan Rakyat.

Antaranya ialah Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa kerajaan perpaduan hanya menanti masa untuk tumbang.

Hal itu kerana, dakwa Sanusi, PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi. Dia bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh.

Dakwaan itu muncul selepas spekulasi wujudnya 'Langkah Dubai' yang dikatakan mengancam kepada kejatuhan kerajaan perpaduan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS