Petronas nafi ketua pemisah Thai bekerja dengannya
Sapaeing Basoe pemimpin kumpulan pemisah, Barisan Revolusi Nasional (BRN), yang paling dikehendaki di Thailand tidak pernah bekerja dengan syarikat minyak Malaysia, Petronas.
Sapaeing Basoe pemimpin kumpulan pemisah, Barisan Revolusi Nasional (BRN), yang paling dikehendaki di Thailand tidak pernah bekerja dengan syarikat minyak Malaysia, Petronas.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Merican (foto) berkata,
pihaknya tidak mengenali langsung Sapaeing sehinggalah laporan mengenainya disiarkan di muka depan akhbar Thai Post Selasa lalu.
Menurut laporan yang memetik sumber itu, Sapaeing kini hidup selesa di Malaysia kerana dia bekerja sebagai penasihat kepada Petronas, dengan pendapatan 100,000 baht (RM10,000) sebulan.
Sapaeing dilaporkan mendapat pekerjaan itu hasil perakuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga penasihat Petronas. Dr Mahathir turut terbabit dalam usaha mengadakan rundingan damai antara puak pemisah dan kerajaan tentera Thai.
Dia menghilangkan diri dua tahun lalu selepas pihak berkuasa Thailand menahan beberapa guru di sekolahnya kerana dipercayai menjadi militan. Sapaeing adalah bekas pengetua Sekolah Yayasan Thammawithaya di Yala.
"Dia bukan pekerja kita. Kita tidak kenal dia pun," kata Hassan kepada pemberita selepas mengumumkam prestasi kewangan Petronas bagi tahun 2007 di Kuala Lumpur hari ini.
Panglima Tentera Darat Thailand, Jeneral Sonthi Boonyaratglin juga dilaporkan berkata beliau tidak yakin dengan laporan tersebut.
Rakan ragui
"Saya tidak pasti (Sapaeing bekerja di Malaysia), tetapi jika pegawai Malaysia tahu, tentunya mereka akan mengambil tindakan. Saya tak fikir mereka mahu puak militan tinggal di negara mereka," katanya ketika diminta mengulas satu laporan oleh akhbar Thai Post itu.
Ketika dihubungi, rakan Sapaeing juga meragui kerajaan Malaysia akan membenarkan beliau bekerja dengan mendapat gaji bulanan.
Seorang pemimpin puak permisah yang mengenali Sapaeing sejak zaman persekolahan lagi, berkata rakannya tidak mempunyai latihan dan latarbelakang untuk memegang jawatan sebagai penasihat Petronas.
"Beliau hanyalah seorang guru," katanya kepada malaysiakini.
Satu lagi sumber berkata, Sapaeing hidup dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.
"Daripada apa yang saya tahun, Sapaeing tidak bekerja dengan Petronas. Dan tidak mungkin Petronas atau kerajaan Malaysia mahu menjejaskan keadaan dengan berbuat demikian," katanya.
Puak pemisah menuntut supaya wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani yang majoriti didiami kaum Muslim, diberikan kemerdekaan. Berita asal

