NGO Melayu pula desak Anwar jelaskan tentang derma RM750 juta
Kumpulan pendesak Melayu menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim berterus terang berkaitan derma RM500 atau RM750 juta yang dibincangkannya bersama Yang di-Pertuan Agong, pada 9 Januari lalu.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Syed Hassan Syed Ali berkata kenyataan Anwar itu menimbulkan keraguan sehingga mencetus polemik.
“Saya tak faham apa tujuan dia menyebut perkara ini, sama ada betul dia menyatakan perkara itu kepada Tuanku.
“Atau (adakah kenyataan Anwar itu) sekadar menokok tambah kenyataan di Facebook beliau,” katanya.
Dalam sidang media di Kuala Lumpur petang ini, Syed Hassan membangkitkan sama ada Anwar berkata demikian bagi menyindir pihak yang didakwa cuba menyogok Agong bagi menukar kerajaan.
Anwar tiga hari lepas menulis di media sosialnya bahawa Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Istana Negara tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.
“Saya juga menambah seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara,” tulis Anwar.
Tiada huraian lanjut dibuat.
Syed Hassan juga mempersoalkan tindakan Anwar membangkitkan soal derma itu ketika sesi menerima menghadap di Istana Negara.
“Apakah perlu dia (PM) menyebut perkara ini di depan Tuanku? Yang rasanya tidak ada kena mengena dan tiada keperluan,” katanya.
Hadir sama dalam sidang media itu Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad dan Pengerusi Gabungan NGO Islam (Gabung), Aminuddin Yahaya.
Setakat ini tidak jelas Anwar merujuk kepada apa.
Bagaimanapun sebelum ini muncul dakwaan mengenai cubaan merasuah Agong di tengah cakap-cakap berkaitan usaha menumbangkan kerajaan melalui apa yang dinamakan sebagai Langkah Dubai.
Bagaimanapun, dakwaan itu menyebut jumlah itu sebanyak RM1 bilion.
Pegawai kepada Hamzah Zainudddin sebelum ini membuat laporan polis setelah nama ketua pembangkang dikaitkan sama.
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad pula menyifatkan pihak yang menyebarkan dakwaan itu sebagai pengejut kerana menyembunyikan identitinya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/01/b3039f59439e1dbeae7a45eba829fbbc.png)
