Bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif bakal diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara pada 17 Januari ini.

Prosiding petisyen penerimaan masuk peguambela dan peguamcara atau juga dikenali sebagai upacara 'long call' itu akan bermula pada jam 9.30 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Turut hadir untuk menjubahkan Md Raus pada hari tersebut setelah diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara adalah bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli Makinuddin. 

Md Raus Sharif

Peguam Mohd Hafarizam Harun pula akan mengusulkan kemasukan Md Raus sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

Raus memegang jawatan ketua hakim negara selama sekitar 15 bulan bermula pada April 2017 sehingga Julai 2018.

Dia juga pernah menjadi presiden mahkamah rayuan selama lebih lima tahun dari Sept 2011 hingga April 2017.

Pada 2017, tempoh jawatan Raus sebagai ketua hakim negara dilanjutkan meskipun dia twlah mencapai umur persaraan mandatori 66 tahun.

Ini menyebabkan Majlis Peguam menggelar langkah itu sebagai "tidak berperlembagaan" dan menghakis keyakinan orang ramai terhadap kebebasan badan kehakiman.

Selepas memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Malaya, Md Raus menjadi majistret pada tahun 1976.

Kemudian pada tahun 1994, dia dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada tahun 1996, dia dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi, dan 10 tahun kemudian dia dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Rayuan.

Pada September 2011, dia dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan.