Sepasang suami isteri yang ditahan kerana disyaki menyeleweng RM9.62 juta kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah hari ini.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan permohonan polis untuk membebaskan pasangan terbabit dengan jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebanyak RM50,000 seorang.

Terdahulu, lelaki berusia 50 tahun dan isterinya yang berumur 53 tahun itu berpakaian biasa ketika tiba di Mahkamah Majistret Ipoh dengan diiringi anggota polis kira-kira jam 9.30 pagi.

Mereka kemudian dibebaskan kira-kira 20 minit kemudian.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan suspek terbabit ditahan reman tujuh hari mulai 6 Jan lepas bagi membantu siasatan.

Tempoh reman tersebut kemudian dilanjutkan kepada 12 Jan, iaitu tiga hari lagi sehingga semalam.

Pasangan suami isteri itu yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk ditahan di Kuala Lumpur kira-kira 12.35 tengah hari pada 5 Jan lepas.

- Bernama