Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli akademik ambil tanggungjawab kesilapan fakta dua Samad
Diterbitkan:  Jan 18, 2024 5:02 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Kajian Media di Univerisi Teknologi Mara, Prof Ismail Sualman, hari ini menyatakan azamnya untuk lebih cermat dalam penulisan.

Membuat kenyataan itu melalui media sosial, Ismail juga berkata, dia bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan fakta semasa membicarakan jasa tokoh wartawan negara, Allahyarham A Samad Ismail.

Tulisan Ismail disiarkan akhbar Utusan Malaysia semalam.

“Fakta yang betul adalah penulis sebenar novel Salina adalah tulisan A Samad Said.

"Dengan ini saya menarik balik fakta berkenaan sebelum ini.

“Saya juga berjanji akan lebih teliti dalam penulisan selepas ini, segala kesulitan amat dikesali,” katanya menerusi hantaran di Facebook Story miliknya.

Ismail berkata demikian ekoran kesilapan fakta dalam rencananya apabila dia memetik salah satu novel besar A Samad Said, Salina, sebagai karya Samad Ismail.

Untuk rekod selain menjadi wartawan, Samad Ismail memang dikenali sebagai sasterawan yang banyak menghasilkan tulisan kreatif, termasuk sejumlah novel.

Antara novel Samad Ismail ialah Sutinah, Tembok Tidak Tinggi dan Patah Sayap Terbang Jua.

Kata Ismail, apa yang berlaku adalah atas kelemahan dirinya dan mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan tersebut.

"Kesilapan ini dipertanggungjawabkan kepada diri sendiri dan tiada kaitannya dengan mana-mana organisasi," katanya.

Rencana Ismail disiarkan Utusan Malaysia dengan tajuk Kursi A Samad Ismail lonjak bidang kewartawanan dan menarik perhatian ramai apabila dia terkeliru untuk membezakan dua orang tokoh besar negara.

Dia menulis: "Beberapa karyanya yang terkenal antara lain adalah novel Salina yang menceritakan kisah seorang wanita Melayu [...]".

Semakan Malaysiakini malam tadi mendapati rencana berkenaan dalam versi dalam talian sudah tidak lagi memaparkan kenyataan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS