Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP gesa hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk
Diterbitkan:  Jan 18, 2024 5:27 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Seorang ahli parlimen DAP Pulau Pinang hari ini menggesa langkah lebih tegas diambil terhadap pemanduan dalam keadaan mabuk.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata mereka yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk harus berdepan hukuman lebih tegas seperti digantung lesen memandu selama beberapa dekad atau disenarai hitam bagi menghalang mereka yang disabitkan kesalahan melibatkan kematian daripada mendapatkan semula pemilikan kenderaan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti menekankan kepentingan nyawa rakyat kita, dan adalah penting untuk semua yang memandu kenderaan untuk mengingati perkara ini: memandu bukanlah hak semula jadi, tetapi keistimewaan yang diperoleh melalui tanggungjawab dan rasa hormat terhadap orang lain.

"Keistimewaan ini boleh ditarik balik apabila sikap melulu dan kesombongan mengaburkan pertimbangan seseorang," katanya dalam satu kenyataan.

Dia juga mencadangkan agar mereka yang disabitkan kesalahan tertakluk kepada prasyarat mandatori, termasuk penubuhan yayasan bertujuan membantu mereka yang terjejas akibat tindakan pemandu mabuk.

Pemasangan peranti antialkohol mandatori dalam kenderaan milik mereka yang disabitkan kesalahan juga boleh menghalang kelakuan sedemikian, tambahnya.

Dia berkata masih terdapat keraguan tentang sama ada undang-undang pada masa ini cukup tegas dalam menangani isu itu.

"Mencapai keseimbangan sempurna antara penguatkuasaan undang-undang yang berterusan dan kempen kesedaran awam yang dinamik, yang mampu menyedarkan individu tentang bahaya memandu dalam keadaan mabuk, adalah penting," katanya.

Katanya, ketika ini, mereka yang didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berdepan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun dan denda sehingga RM100,000 manakala mereka yang didakwa mengikut Seksyen 42 Akta yang sama boleh berdepan lima tahun penjara, denda sehingga RM15,000, dan dua tahun hilang kelayakan memandu.

Syerleena memetik kes terbaru Teoh Joo Leong, yang semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Butterworth, Pulau Pinang.

Dia berkata bahawa alasan Teoh untuk jumlah jaminan minimum - memetik dirinya sebagai duda dengan tiga anak dan ibu bapa yang sudah tua untuk dijaga - sepatutnya dia pertimbangkan sebelum memutuskan untuk memandu di bawah pengaruh alkohol.

Syerleena turut membangkitkan kematian guru Fakhrul Rodzi Fauzi dan Ahsan Ayub, yang masing-masing berusia 31 dan 32 tahun ketika meninggal dunia pada Disember.

“Memandu dalam keadaan mabuk memberi akibat jangka panjang , memberikan mimpi buruk yang mendalam dan berkekalan kepada kehidupan mereka yang terjejas, dalam kes ini, keluarga si mati.

"Keperitan yang ditanggung oleh keluarga mereka yang tidak bersalah dalam kemalangan seperti itu tidak terkira, meninggalkan kekosongan kekal dan parut emosi yang mungkin tidak akan dapat pulih sepenuhnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS