Macam-macam cara penipu atau scammer memperdayakan orang ramai.

Malah, ada yang menggunakan video palsu yang kononnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai menyertai skim pelaburan yang sebenarnya tidak wujud.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Sehubungan itu, Teo dilapor mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk meminta Meta menurunkan video berita Bernama TV yang diolah secara palsu menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di Facebook. 

Teo berkata dia sendiri menghantar pautan video itu yang memaparkan wajah penyampai berita Bernama TV membaca laporan mengenai skim pelaburan meragukan untuk diambil tindakan selanjutnya oleh suruhanjaya berkenaan.

“Ini bukan kali pertama orang jahat, scammer guna pakai teknologi AI untuk cipta atau buat video seperti ini, beberapa bulan dulu, saya pun ada nampak ada pihak guna pakai video Anwar Ibrahim dan ucapan beliau ditukar kononnya menyeru orang ramai menyertai skim pelaburan.

“Kita tidak boleh nafi bahawa teknologi AI ini ada banyak kebaikan tetapi ada juga risiko ia diguna pakai scammer untuk tujuan penipuan, jadi sangat penting apabila orang ramai terima atau lihat video seperti ini bolehlah hantar aduan kepada Meta atau MCMC,” katanya.

Menurut Bernama, Teo berkata demikian kepada pemberita sebelum menjadi tetamu program The Nation: Future of Media and Communications terbitan Bernama TV di Kuala Lumpur hari ini.

November lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata purata 15 kes penipuan pelaburan baru disiasat setiap hari, yang mengakibatkan mangsa kerugian lebih RM360 juta.

Selain daripada penipuan pelaburan, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa penipuan pekerjaan juga berleluasa di Malaysia.

Negara juga dipercayai menjadi lokasi pusat penipuan dengan sindiket antarabangsa menjalankan operasi mereka di sini.