Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kecewa dengan pemotongan kadar, penunggang Grab anjur protes esok
Diterbitkan:  Jan 18, 2024 6:45 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Konvoi dari pelbagai lokasi di Lembah Klang akan menuju ke ibu pejabat Grab di Petaling Jaya esok untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemotongan kadar bagi penunggang penghantaran.

Menurut jemputan yang dikongsi di media sosial, peserta akan berkumpul mulai jam 3 petang. Para penunggang diberitahu untuk membawa beg dan memakai jaket Grab mereka.

Mereka juga dinasihatkan supaya mengelakkan provokasi dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, sebuah persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menggesa kerajaan supaya menyegerakan penubuhan badan kawal selia yang bertujuan melindungi kebajikan pengusaha ekonomi gig khususnya pengusaha p-hailing.

Sambil menyatakan kekecewaan dengan pengurangan  kadar itu, ia berkata kerajaan harus melihat ke arah melaksanakan langkah jangka pendek untuk menangani masalah berterusan ini.

"Kami gesa kerajaan mengambil tindakan dan campur tangan dalam isu p-hailing. Hanya kerajaan yang boleh menggubal dan mengeluarkan dasar atau garis panduan untuk keseluruhan ekosistem ekonomi gig ini," katanya.

Persatuan itu juga menggesa GrabFood Malaysia untuk kembali mengguna-pakai kadar asal.

PPRM berkata pemotongan kadar tanpa rundingan adalah "sangat tidak menghormati" perbincangan yang diadakan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu.

"Isu itu dibangkitkan dengan perdana menteri pada sesi Temu Anwar di Petaling Jaya. Terdapat juga perbincangan dengan menteri pengangkutan, menteri komunikasi dan menteri sumber manusia di pejabat perdana menteri.

“Ketika itu, semua syarikat penyelia termasuk GrabFood bersetuju untuk menyemak semula kadar upah bagi pemandu mereka.

"Bagaimanapun, adalah mengecewakan bahawa masalah ini berterusan dan kadar upah semasa sangat rendah. Ini ditambah lagi dengan kaedah pengiraan kadar upah  yang tidak jelas," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS