Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menyertai kempen pengiriman poskad khas Palestin Merdeka sebagai tanda sokongan terhadap aspirasi dan impian warga Palestin.
Kata Fahmi, berkata rakyat Malaysia boleh menzahirkan sokongan tersebut melalui poskad khas yang boleh didapati di semua pejabat Pos Malaysia atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Bhd mulai hari ini.
Jurucakap kerajaan perpaduan itu berkongsi mengenai kempen tersebut menerusi catatan di Facebook hari ini.
Menerusi catatan itu, Fahmi memaklumkan poskad khas berkenaan dijual pada harga RM6 untuk tiga keping, dengan sekeping daripadanya berbentuk pracetak dan dialamatkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri telah menandatangani serta mengirimkan poskad khas tersebut kepada Guterres.
Antara lain ia dibuat bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia agar PBB menerima Palestin sebagai negara anggota badan dunia itu.
Kandungan poskad itu turut menuntut agar keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan segera.
- Bernama
