Satu sidang media khas oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad akan diadakan pada Isnin depan.

Sidang media khas itu difahamkan bagi mengulas isu semasa termasuk siasatan terhadap anaknya Mirzan Mahathir oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malaysiakini turut difahamkan sidang media berkenaan akan diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya.

“Tunggu Isnin nanti (tanya dalam sidang media),” kata Mahathir ketika diminta mengulas siasatan terhadap anak sulungnya itu.

Mahathir berkata demikian selepas menghadiri program Minda Negarawan 'Iktibar 50 tahun Perjanjian Pangkor’ di YKP hari ini.

Terdahulu, Mahathir menempelak kerajaan yang dituduhnya melakukan "kezaliman terhadap musuh politik."

Dia turut mendakwa Mirzan menerima ugutan akan dipenjara selama lima tahun.

SPRM sebelum ini memaklumkan telah menyerahkan perintah notis kepada Mirzan untuk mengisytiharkan aset dalam tempoh 30 hari.

Jelas SPRM, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan mereka berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaan Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).