Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan: Muhyiddin, pemimpin PN tak sokong kenyataan Dr M
Diterbitkan:  Jan 20, 2024 4:26 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Pemimpin PN tidak menyokong kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa masyarakat India di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara, kata Presiden Gerakan Dominic Lau.

Lau berkata Gerakan telah menyuarakan bantahan terhadap kenyataan Mahathir itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam.

"Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan pimpinan PN juga menyatakan tidak menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Lau dalam sidang media berkata ramai pemimpin PN yang hadir di mesyuarat itu merasakan kenyataan bekas perdana menteri itu "tidak sesuai".

Dia juga berkata Mahathir mungkin membuat kenyataan itu kerana sudah "tua". Bekas perdana menteri itu akan masuk usia 99 tahun pada Julai ini.

Pada minggu lalu, Dr Mahathir mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana masih "terikat" dengan negara asal mereka, selain menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa utama.

Susulan itu, Lau memberitahu Malaysiakini yang dia akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat PN minggu ini, dan akan mendesak PN untuk mengecam Mahathir, yang merupakan penasihat bagi empat negeri yang ditadbir gabungan itu.

Namun kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berhubung mesyuarat semalam tidak menyebut berkenaan bantahan terhadap kenyataan Dr Mahathir itu.

Ditanya jika PN akan menyingkirkan Mahathir daripada jawatan penasihat, Lau berkata ia tidak dibincang semalam.

Dia juga berkata peranan Mahathir sebagai penasihat juga tiada kaitan dengan kenyataan yang dibuat berkenaan kesetiaan masyarakat India.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS