Pendakwa pohon cabar keterangan saksi utama kes Altantuya
Pihak pendakwa dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu hari ini memohon untuk mencabar kenyataan saksi pendakwa, Lans Kpl Rohaniza Roslan, 29. Dia dianggap sebagai saksi utama pihak pendakwa yang mula memberi keterangan Jumaat lalu.
Pihak pendakwa dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu hari ini memohon untuk mencabar kenyataan saksi pendakwa, Lans Kpl Rohaniza Roslan, 29. Dia dianggap sebagai saksi utama pihak pendakwa yang mula memberi keterangan Jumaat lalu.
Timbalan Pendakwarya, Noorin Badaruddin, yang menyoal Rohaniza sejak jam 9.20 pagi tadi, memeranjatkan hadirin di Mahkamah Tinggi Shah Alam tiga jam kemudian, apabila memohon untuk mencabar keterangan saksi tersebut.
Noorin memberitahu Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bahawa beliau memerlukan masa untuk menyediakan permohonan mencabar keterangan saksi tersebut dan memohon persidangan mahkamah ditangguhkan.
Perlu buat semakan
Beliau berkata, pihaknya berhasrat mencabar keterangan Rohaniza dan perlu membuat semakan sama ada berlaku percanggahan dalam keterangan Rohaniza di mahkamah dengan kenyataannya sebagai saksi.
Noorin kemudiannya memohon mahkamah menyambung perbicaraan pada jam 2.30 petang untuk membolehkan pihak pendakwa mengemukakan dokumen-dokumen kepada Hakim Mohd Zaki untuk membuat keputusan.
Jumaat lalu, Rohaniza memberitahu mahkamah, dia bersama seorang tertuduh, Cif Insp Azilah Hadri, 30, ketika dia (Azilah) membawa seorang "wanita Cina" yang dikenalpastinya sebagai Altantuya ke dalam kereta Proton Wira merah miliknya.
Penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak Baginda P Balasubramaniam sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa sebuah kereta Proton Wira merah membawa pergi Altantuya pada 19 Oktober tahun lalu.
Rohaniza, yang merupakan teman wanita Azilah ketika itu, dalam keterangannya berkata, mereka bertiga menaiki keretanya dan mengekori seorang lelaki yang tidak dikenali, yang memakai topi warna hijau, yang memandu kereta Suzuki Vitara warna hijau tua.
Berhenti di pejabat UTK
Pagi ini, Rohaniza memberitahu mahkamah, dua buah kereta berhenti dekat ibupejabat polis Bukit Aman di simpang menuju ke pejabat Unit Tindakan Khas (UTK).
Katanya, Azilah memberitahu Altantuya yang mereka berada di balai polis apabila wanita Mongolia itu bertanya di mana mereka ketika itu.
Rohaniza berkata, Altantuya kemudian berkata, 'ini bukan balai polis, ini rumah'. Saksi itu berkata Altantuya mungkin berkata demikian kerana tempat itu gelap.
Dia kemudiannya menjelaskan, Azilah keluar dari kereta dan pergi bercakap dengan lelaki bertopi hijau dalam kereta yang lagi satu. Azilah datang semula ke sebelah tepi kereta tempat duduk Altantuya dan membawa wanita Mongolia itu keluar.
Katanya, Azilah dan Altantuya bercakap sesuatu dan Azilah kemudiannya membawa wanita Mongolia itu ke sebelah tempat duduk depan penumpang kereta Vitara, membuka pintunya dan wanita itu masuk ke dalam.
Kereta Vitara itu, kata Rohaniza, kemudiannya beredar dari situ melalui jalan keluar bekalang Bukit Aman," katanya.
Selepas itu, katanya, Azilah datang ke pejabatnya dan dia (Azilah) pulang ke rumah untuk bertemu rakan-rakannya.
Rohaniza memberitahu mahkamah, Azilah kerap menelefonnya ketika dia sedang berada di pusat karaoke di Bukit Bintang, tetapi katanya, dia pergi mengambil Azilah di Bukit Aman selepas jam 12 tengah malam 20 Oktober.
Katanya, dia menunggu Azilah dalam keretanya di luar pejabat UTK sehingga tertidur.
Rohaniza berkata, dia terkejut dari tidurnya selepas Azilah mengetuk cermin pintu keretanya dan meminta bantuannya untuk membawa begnya.
Rohaniza berkata, dia perasan yang Azilah telah menyalin baju dan dia kemudiannya membawa Azilah ke Putrajaya.
Noorin kemudiannya meminta Rohaniza mengenalpasti senarai panggilan telefon dan mesej SMS antaranya dengan Azilah di tiga nombor telefon miliknya.
Bimbang nasib Altantuya
Rohaniza berkata, dia berjumpa lagi dengan Azilah selepas kejadian itu ketika mereka menziarahi keluarga Azilah di Sungai Pelek, Sepang. Rohaniza tidak memberitahu bila.
Menurut Rohaniza lagi, kelakuan Azilah lain daripada biasa ketika menziarahi keluarganya itu.
Biasanya, kata Rohaniza, Azilah suka berbual dengan keluarganya, tetapi kali ini dia berdiam diri sepanjang masa.
Berikutan itu, kata Rohaniza, dia bertanya kepada Azilah apa yang tidak kena.
Katanya, Azilah menjawab dia risau kerana dia tidak tahu bagaimana Altantuya boleh hilang secara tiba-tiba.
Rohaniza berkata, dia memarahi Azilah dan bertanya apa yang sebenarnya berlaku, tetapi Azilah terus berdiam diri. Rohaniza kemudiannya memberitahu Azilah yang dia akan memeriksa perkara itu dengan balai polis.
Katanya, dia bimbang terhadap Altantuya. Katanya, dia terfikir-fikir apa yang mungkin berlaku terhadap Altantuya ketika dia menelefon balai polis Brickfields dan Travers untuk menyemak sama ada sesiapa yang membuat laporan mengenai rakyat asing diculik atau menjadi mangsa rogol.
Sejurus selepas itu, Noorin memberitahu mahkamah, pihak pendakwa akan memohon untuk mencabar keterangan Rohaniza.
Noorin, yang dianggap sebagai saksi utama perbicaraan tersebut, ditahan reman selama 14 hari tahun lalu untuk membantu siasatan polis terhadap kes pembunuhan Altantuya. Dia kemudiannya dibebaskan tanpa didakwa.
Dua anggota UTK Azilah, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35 dituduh membunuh Altantuya manakala Abdul Razak, 47, didakwa bersubahat dengan mereka. Berita asal

