Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan, 10 lain didakwa anggotai kumpulan ‘Geng Upik’
Diterbitkan:  Jan 22, 2024 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Seorang ahli perniagaan bersama 10 yang lain didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabaluhari atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik' antara 2015 hingga tahun lepas (2023).

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepada ahli perniagaan Datuk Maslan Sani, 41, bersama 10 yang lain di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Tertuduh lain ialah Rahman Burijin, 44, Jaisalfian Jaineh@Zaini, 45, Mohd Fauzie Rablin, 33, Shahlan Shah Abdul Samad, 37, Nelson Yen Yee Chung, 51, Mohd Faridzul Asmahadi, 31, Fazrul Bahar, 32, Alkan Abraham, 35, Mazlan Mahmud, 49 dan Mahathir Jibarail, 49.

Maslan, Shahlan dan Alkan didakwa melakukan kesalahan itu pada 2015, manakala Rahman, Jaisalfian, Mazlan, dan Mahathir pada 2018. Mohd Faridzul dan Fazrul pada 2020 sementara Mohd Fauzie pada 2022 dan Nelson pada tahun lepas.

Semua tertuduh masing-masing didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu di Kota Kinabalu di sini mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara lima hingga 20 tahun.

Noor Hafizah menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan ke atas semua tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Nazran Mohd Sham, Siti Hajah Mat Radzi, dan Nur Ainaa Ridzwan.

Peguam Muhamad Amirul Amin mewakili tertuduh Jaisalfian, manakala Sylyester Kuan mewakili Mohd Fauzie, sementara Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi mewakili  tiga tertuduh iaitu Shahlan Shah, Mohd Faridzul dan Fazrul.

Tertuduh lain tidak diwakili peguam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS