Kuil dilanda banjir, 17 penganut Hindu diselamatkan bomba
Seramai 17 penganut Hindu yang sedang membuat persiapan menyambut Thaipusam di Kuil Sri Muniswarar Maha Mariamman, Kampung Kangkar Tebrau Kiri, Johor Bahru diselamatkan bomba selepas kuil berkenaan dilanda banjir kilat malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau Pegawai Bomba Kanan I KUP Khairul Azhar Abd Aziz berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 10.13 malam sebelum lapan anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Semalam hujan lebat sepanjang hari telah menyebabkan air naik hingga ke paras tiga meter sebelum pihak pengurusan kuil menghubungi bomba.
"Kawasan itu memang sering banjir khususnya jika hujan berpanjangan.
"Pemeriksaan mendapati terdapat 17 mangsa terperangkap dalam kuil, dan anggota bomba memindahkan mereka ke tempat selamat. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Azhar berkata mereka terdiri daripada lapan lelaki dewasa, lapan wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Operasi ditamatkan pada 11.53 malam.
- Bernama
/file/1027/091b21a5fcd4d47e51eddb9884f96de9.jpg)
