Bersatu Kelantan jamin 3 MP mereka takkan sokong Anwar
Bersatu Kelantan hari ini dilaporkan memberi jaminan tiga ahli parlimen mereka di negeri itu tidak akan menyatakan sokongan kepada kerajaan dan Anwar Ibrahim.
Pengerusinya Kamaruddin Md Noor berkata dia sudah berhubung dengan tiga ahli parlimen terbabit dan yakin mereka tidak akan mengikuti langkah enam rakan mereka yang memilih jalan sendiri.
Terbaru, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanafi, yang membuat pengumuman itu kelmarin.
Kamaruddin berkata sebaik saja mendapat maklumat mengenai dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Syed Abu Hussin Hafiz menerusi melalui media pagi tadi, dia menghubungi mereka untuk mendapat kepastian.
Katanya di Kelantan ada lima ahli parlimen Bersatu dengan dua daripadanya sudah menyokong perdana menteri.
“Manakala tiga lagi - Ketereh, Tanah Merah dan Machang... saya berani jamin mereka tidak akan melakukan perkara sama,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Sebelum ini selain Syed Abu Hussin dan Zulkaperi, ahli parlimen lain yang memberikan sokongan kepada Anwar dan kerajaan perpaduan ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Tiga ahli parlimen Bersatu Kelantan yang masih bersikap menolak Anwar ialah Khlir Mohd Nor (Ketereh); Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).
Pagi tadi Syed Abu Hussin memberi bayangan bahawa ada tiga ahli parlimen PN dari Pantai Timur yang akan memberikan sokongan kepada kerajaan menjelang akhir bulan depan.
Kamaruddin berkata dakwaan dibuat Syed Abu Hussin pagi tadi sekadar serkap jarang.
“Saya bercakap bagi pihak Kelantan, tidak ada pun baki tiga ahli parlimen ini akan sokong perdana menteri," katanya.
/file/1101/ab0c8377ddb86b496a9939fa5965e5ae.jpeg)
