Kerajaan melantik Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal untuk mengetuai jawatankuasa menangani isu kenaikan harga makanan dan kos sara hidup.

Menurut laporan Bernama, pelantikan Syed Abu Hussin - pemimpin Bersatu yang baru-baru ini menyatakan sokongan pada kerajaan - diumumkan oleh Anwar semasa satu majlis di Ipoh, Perak awal hari ini.

Perdana menteri dalam ucapannya pada majlis itu berkata Syed Abu Hussin akan mengetuai kluster itu di bawah Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (Naccol).

"Saya nanti tugaskan Syed Abu Hussin bantu dalam mesyuarat penyelarasan harga barang makanan, Naccol ini, saya mengesahkan supaya dia akan mengepalai kluster yang akan tambah ikhtiar supaya Jualan Madani ini dapat kita tingkatkan di seluruh negara dan kena perluaskan dan kerapkan lagi,” katanya, seperti dipetik agensi berita kerajaan itu.

Naccol terdiri daripada 11 kementerian dan telah ditugaskan untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Pada November, Syed Abu Hussin, yang berasal dari Bersatu, mengumumkan sokongannya kepada kerajaan Anwar tetapi tidak keluar parti pembangkang.

Ketika mengumumkan keputusannya pada sidang Dewan Rakyat, Syed Abu Hussin turut menyatakan kesediaannya membantu kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

Sebelum ini, wakil rakyat Bukit Gantang itu telah menyatakan kesediaan untuk menyokong Anwar sekiranya Putrajaya dapat memperuntukkan pembiayaan yang mencukupi untuk kawasannya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Syed Abu Hussin turut hadir pada majlis itu ketika Anwar mengumumkan pelantikannya hari ini.

Dia dilaporkan memberitahu media bahawa dia bersedia menerima tanggungjawab itu, dan berkata terdapat beberapa kaedah untuk menstabilkan harga barangan keperluan termasuk beras.

“Sukatan terawal ialah beras, diikuti barangan lain kerana beras kini menjadi isu kritikal.

“Jadi, jika saya diberi kuasa untuk menguruskan ini, Insya-Allah kita akan tunjukkan kepada rakyat dan kerajaan ada kaedah untuk menstabilkan harga barangan makanan utama,” katanya.