Loke belum putuskan pilih skim pencen mana
Anthony Loke berkata dia masih belum pasti skim pencen mana yang menjadi pilihan nanti kerana kini menjawat tiga jawatan sekali gus iaitu menteri, ahli parlimen dan Adun.
Menurut menteri pengangkutan itu masih terdapat beberapa peruntukan dalam skim saraan yang perlu dipatuhi sebelum melayakkan seseorang menerima pencen kerajaan.
Menurut Loke, skim pencen bagi Adun tertakluk kepada enakmen negeri, justeru dia percaya perkara tersebut perlu diperhalusi mengikut pindaan undang-undang yang akan dibuat pada Skim Pencen Perkhidmatan Awam untuk ahli politik atau ahli parlimen.
"Saya belum layak lagi (terima pencen) dan berkemungkinan ada perubahan dalam undang-undang.
"Jika nak buat perubahan ini, perlu ada pindaan undang-undang pada akta dan enakmen di setiap dewan undangan negeri.
"Saya juga Adun dan ada pencen, tapi ia di bawah kerajaan negeri, jadi dalam keadaan seseorang ada pelbagai kapasiti, mungkin ada pindaan undang-undang yng menghadkan seseorang itu untuk mendapat satu pencen," katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, Loke menyambut baik saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini yang mahukan ahli politik mengambil satu skim pencen saja walaupun berkhidmat di lebih daripada satu jawatan.
Katanya walaupun perubahan dirancang kerajaan merupakan cabaran besar buah ahli politik namun mereka bersedia berkorban.
"Saya yakin ini semangat yang kita akan bawa dalam parti ataupun kerajaan kerana sebagai pemimpin politik kita kena tunjukkan teladan yang baik.
"Saya rasa atas nasihat perdana menteri, tiada masalah untuk kita beradaptasi," katanya.
Namun, Adun Chennah di Negeri Sembilan itu tidak pasti apakah pencen yang akan diterimanya selepas mencapai syarat yang ditetapkan nanti.
"Saya belum layak mendapat pencen dan baru berusia 47 tahun, untuk mendapat pencen sekurang-kurangnya selepas bersara daripada jawatan menteri dengan umur 50 tahun.
"Semasa berhenti sementara pada tahun 2020, orang lain yang dapat, saya tak dapat sebab tak layak. Jadi saya belum tahu lagi apa skim yang akan dapat," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/f57c402177db00b87bcde4a1722d4891.jpg)
