Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Ahli politik ada 'tanggungjawab moral' ambil satu pencen saja

Ahli politik yang memegang lebih daripada satu portfolio atau jawatan dalam kerajaan perlu ada "tanggungjawab moral" dengan hanya mengambil satu skim pencen, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Orang yang mendapat gaji menteri, menteri besar, ataupun lantikan politik (boleh menerima) tiga hingga empat pencen.

"Melihat keadaan ini, mereka perlu lebih bertanggungjawab secara moral dengan menolak pencen yang lain dan hanya memilih satu. Tapi mungkin itu saya serah (keputusan) kepada mereka," katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara hari ini.

Anwar juga berkata kakitangan kerajaan dan ahli politik yang layak menerima skim pencen sedia ada tidak akan terkesan dengan cadangan sistem saraan baru perkhidmatan awam.

Dia juga sekali lagi menyatakan kajian membabitkan skim saraan dalam kalangan penjawat awam turut terpakai kepada ahli politik.


PANDUANKINI | Patutkah mansuh pencen MP?


Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali memberitahu Parlimen bahawa wakil rakyat boleh menerima beberapa pencen bergantung kepada perkhidmatan mereka di bawah akta, ordinan atau enakmen yang berbeza.

"Sebagai contoh, seseorang yang telah berkhidmat sebagai Adun akan menerima pencen di bawah ordinan atau enakmen negeri berkenaan, dan pada masa sama, dia boleh menerima pencen sebagai ahli parlimen sekiranya memenuhi kelayakan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237)," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Dasar baru untuk pengambilan penjawat awam secara tetap tanpa pencen sedang menunggu untuk diluluskan kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.

Lihat Komen
ADS