• Laporan ini dikemas kini dengan maklumat tambahan supaya memberikan gambar lebih tepat.


Aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM) Dhurgesswaran Veeran tampil menjelaskan videonya berbahasa Mandarin baru-baru ini yang dipertikaikan sesetengah pihak kerana tidak menggunakan bahasa Melayu.

Katanya, rakaman yang tular baru-baru ini daripada sidang media yang dihadirinya berkenaan isu pengasingan waktu operasi gimnasium bagi pelajar lelaki dan perempuan di UM.

Menurut Dhurgesswaran sidang media yang diadakan kumpulan aktivis siswa UM itu dihadiri oleh rakan-rakan media berbahasa Cina.

“Rakaman video itu diambil daripada sidang media, kami ada menjemput semua rakan media ke sidang media tersebut, tetapi media yang datang cuma akhbar Mandarin sahaja,” katanya semasa dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun Dhurgesswaran bukan dikecam semata-mata kerana isu bahasa.

Dia juga berdepan kritikan kerana menyifatkan langkah pengasingan jantina itu sebagai “dasar Islam yang ekstrem”.

“Ini menjadikan UM sebagai tempat pembiakan ekstemisme,” katanya dalam sidang media bulan lepas.

Sementara itu, Dhurgesswaran (gambar, atas) berkata dia memang fasih berbahasa Mandarin sejak dibangku sekolah lagi.

“Sebab itulah Bahasa Mandarin digunakan dalam rakaman video tersebut,” katanya.

Dhurgesswaran yang juga bekas timbalan setiausaha agung Kesatuan Pelajar Universiti Malaya (UMSU) berkata media berbahasa Inggeris yang datang membuat liputan ketika itu cuma FMT sahaja.

Pada sidang media tersebut, Dhurgesswaran membantah usul pemisahan waktu operasi gimnasium bagi pelajar lelaki dan perempuan.

Rakaman Disember baru tular

Dia menyoal bagaimanakah kaedah untuk mengasingkan waktu operasi gimnasium tersebut kerana pelajar mempunyai jadual masing-masing.

“Para pelajar mempunyai jadual mereka sendiri, macam mana kita nak asingkan waktu gimnasium dengan adil?

"Selepas sidang media tersebut saya telah berjumpa dengan pihak pengurusan, mereka turut berkata perkara yang sama,” katanya.

Jelasnya lagi, sidang media itu berlaku pada Disember lepas tetapi rakamannya baru tular sekarang.

“Saya pun tidak tahu kenapa baru viral semalam," katanya.

Mengulas kecaman di media sosial, Dhurgesswaran yang merupakan penuntut tahun akhir jurusan undang-undang UM itu berkata dia tidak berasa apa-apa.

Namun, katanya pihak pengurusan universiti telah menegurnya berkenaan isu tersebut.

“Setakat ini, saya tak rasa apa-apa. Saya cuma rasa apa yang saya buat ini tidak salah," katanya.


embedded code:
Lihat Komen
ADS