Kabinet dimaklumkan berkaitan mesyuarat Lembaga Pengampunan, Isnin lalu, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Menjawab soalan pemberita, dia bagaimanapun tidak mendedahkan lanjut butirannya.

“(Kabinet) dimaklumkan sepintas lalu, tetapi bukan kabinet punya bidang kuasa.

“Lembaga Pengampunan seperti dalam perlembagaan, menyatakan dengan jelas bawah bidang kuasa siapa, keanggotaan bagaimana.

“Jadi kita bincang, tetapi kita faham ini bukan bidang kuasa kabinet,” katanya menjawab soalan sama ada terdapat perbincangan sedemikian dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Sementara itu, ditanya siapa yang akan mengumumkan keputusannya, Saifuddin menjawab dia tidak boleh bercakap bagi pihak Lembaga Pengampunan.

Mesyuarat itu dikatakan membincangkan permohonan pengampunan diraja bekas perdana menteri Najib Razak.

Bekas presiden Umno itu sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara susulan kesalahan rasuah melibatkan dana dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

[Berita penuh menyusul]