Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek kes bunuh mati ditembak polis
Diterbitkan:  Feb 1, 2024 7:45 AM
Dikemaskini: Feb 1, 2024 3:23 AM

Seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20-an ditembak mati selepas bertindak agresif menyerang anggota polis dengan parang di sebuah pangsapuri di Bukit Subang, Shah Alam, Selangor petang semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki itu adalah suspek kes bunuh wanita warga Indonesia berusia 19 tahun yang jasadnya ditemukan dengan kesan lapan tikaman di Sungai Way, Petaling Jaya pada Isnin lepas.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menyerbu pangsapuri terbabit pada kira-kira 5.30 petang.

“Ketika serbuan, lelaki itu bertindak agresif dengan menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang dan polis melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri.

“Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan sebilah parang panjang berukuran 28 sentimeter dirampas,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-890 5051.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS