Azilah mengadu jurugambar cuba tarik jaket tutup mukanya
Peguambela Hazman Ahmad memberitahu mahkamah hari ini bahawa tertuduh pertama yang diwakilinya, Cif Insp Azilah Hadri telah mengadu mengenai tindakan jurugambar yang cuba menarik jaket yang menutupi mukanya semalam.
Peguambela Hazman Ahmad memberitahu mahkamah hari ini bahawa tertuduh pertama yang diwakilinya, Cif Insp Azilah Hadri telah mengadu mengenai tindakan jurugambar yang cuba menarik jaket yang menutupi mukanya semalam.
Menurutnya, semalam berlaku sedikit kecoh dalam perjalanan dari mahkamah ke lokap.
"Pihak media telah melanggari batasan. Jurugambar telah lompat keluar dari garisan polis dan cuba cabut jaket yang melitupi anak guam saya.
"Anak guam saya mohon sedikit ruang dari gangguan pihak media yang sebegini," katanya kepada Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin.
Menurut laporan Bernama, Hazman berkata, beliau tidak mahu perkara sedemikian berulang kerana ia akan mengganggu perbicaraan kes itu.
Malah katanya, semalam beliau sendiri terpaksa mengambil masa 15 minit untuk memujuk Azilah kembali ke lokap.
Hazman juga memberitahu mahkamah bahawa Azilah Hadri, tertuduh pertama kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tidak berpuas hati dengan keistimewaan yang diberi kepada isteri Abdul Razak Abdullah Baginda, yang boleh mengiringi tertuduh ketiga itu sehingga ke lokap.
Digari ke belakang
Katanya, ia menyebabkan tangan Azilah dan tertuduh kedua, Kpl Sirul Azhar Umar, terpaksa digari ke belakang.
"Saya ingin maklumkan bahawa semalam berlaku insiden dalam perjalanan dari mahkamah ke lokap berikutan aduan terdahulu di mana isteri kepada Abdul Razak (Mazlinda Makhzan) diberi keistimewaan untuk iring suaminya.
"Berikutan itu telah keluar arahan dari Bukit Aman untuk gari Azilah dan Sirul Azhar secara berasingan di belakang. Anak guam saya berasa ini adalah satu ketidakadilan kerana keistimewaan diberikan kepada tertuduh ketiga dan isterinya," katanya pada hari ke-13 perbicaraan itu.
Azilah, 30, dan Sirul Azhar, 35, kedua-dua dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di sini antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu. Abdul Razak, 46, dituduh bersubahat dengan mereka.
Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin kemudiannya bertanya sama ada saudara mara tertuduh pertama dan kedua juga diberi keistimewaaan yang sama.
Hazman: Tidak. Azilah dan Sirul Azhar digari di belakang selepas arahan dikeluarkan.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Mohd Zaki bertanya yang beliau mahu mahkamah lakukan.
Hazman: Nasihat mereka supaya jangan langgar batasan.
Mohd Zaki: Perkara ini berlaku di luar mahkamah.
Hazman: Saya perlu beritahu mahkamah. Anak guam saya adalah dalam pengawasan mahkamah.
'Layanan istimewa'
Wong Kian Kheong, peguambela Abdul Razak, kemudiannya bangkit dan menyatakan bahawa anak guamnya juga digari di belakang seperti dua tertuduh lagi.
Wong: Saya hanya dimaklumkan pagi ini mengenai layanan istimewa yang telah diberikan kepada isteri Abdul Razak. Tidak menjadi satu kesalahan seorang isteri temani suaminya dan sekiranya diarah untuk tidak berbuat demikin, beliau akan akur. Ini tidak lagi menjadi satu isu.
Hazman: Isu dalam hal ini adalah kerana anak guam saya tutup muka walaupun kedua tangannya telah digari di belakang. Ini bukan melanggar peraturan lokap. Perkara serius yang berlaku semalam adalah kerana seorang jurugambar telah melompat keluar dari garisan polis dan cuba membuka jaket yang menutupi muka anak guam saya.
Bagi meredakan keadaan, Mohd Zaki kemudiannya berkata bahawa perkara tersebut berlaku di luar mahkamah dan beliau tiada kuasa untuk membuat perintah tetapi akan meminta pihak-pihak yang berkenaan untuk menguruskan masalah itu.
Di luar mahkamah, kebanyakan jurugambar menyatakan bahawa insiden tarik jaket itu bukan dilakukukan oleh mereka, kerana dalam keadaan yang kelam kabut dan terlalu ramai yang menghimpit, apa sahaja juga boleh berlaku.

