Setiausaha Kehormat Suqiu, Ser Choon Ing, malam ini membuat laporan polis selepas diganggu oleh sekumpulan lelaki di depan kediamannya di Petaling Jaya.

Lelaki itu, dipercayai datang dengan sebuah kereta berwarna biru muda, menjerit antara lain, "Suqiu kurang ajar" dan "Suqiu, jangan ganggu orang Melayu."

Ketika dihubungi malaysiakini sebentar tadi, Ser mengesahkan kejadian itu yang berlaku sekitar jam 8 malam, sebaik sahaja beliau sampai di depan rumahnya di Seksyen 17.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengecam empat atau lima lelaki itu dan tidak dapat mengesahkan latar belakang mereka.

"Saya percaya (gangguan) mereka ada hubungan dengan (perkembangan terkini) Suqiu," katanya, yang bertindak baru-baru ini sebagai ketua kumpulan perunding jawatankuasa rayuan pilihanraya Cina itu dengan Pemuda Umno.

Dalam persetujuan antara dua badan itu, Suqiu mengetepikan tujuh daripada 83 isi rayuannya yang dianggap "sensitif" kepada hak istimewa Melayu seperti yang termaktub pada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sejak beberapa bulan lalu, Suqiu menjadi tajuk utama berita apabila Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan badan itu seakan-akan pengganas komunis dan gerakan Al-Ma'unah.

Selepas pilihanraya kecil Lunas pada November lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula mendesak Suqiu menggugurkan tuntutannya dalam tempoh sebulan sebelum 14 Januari lalu.

Ser membuat laporan di balai polis Damansara kira-kira dua jam selepas kejadian itu.

Beliau juga berkata, isterinya turut mendengar bunyi bising di luar rumah beberapa ketika sebelum beliau pulang dari pejabatnya di Cheras. Bagaimanapun, isterinya tidak pasti sama ada bunyi bising itu ada kaitan dengan kumpulan lelaki tersebut.