Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman fitnah: Mahfuz minta penyokong Sanusi bersabar
Diterbitkan:  Feb 1, 2024 9:05 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berjanji tidak akan melengah-lengahkan bayaran yang ditetapkan mahkamah untuk diberikan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Kata Mahfuz, jika ia sudah diputuskan begitu oleh mahkamah berkaitan dia juga tidak akan berdalih untuk melambatkan pembayaran.

"Saya hormati keputusan mahkamah itu dan saya takkan menyatakan mahkamah zalim atau 'langkah mayat saya dulu'.

"Saya tak salahkan hakim, peguam saya atau peguam Sanusi. Saya akan ikut proses perundangan dan perlembagaan," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Pun begitu Mahfuz berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan peguam, dia mendapat nasihat untuk mengemukakan rayuan ke mahkamah lebih tinggi.

Dia yang juga pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan berkata, ada dua peringkat rayuan yang boleh digunakan iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Semalam Mahkamah Tinggi Alor Setar memihak kepada Sanusi dalam saman fitnah yang dikemukakan Menteri Besar Kedah itu berkaitan dakwaan pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada).

Hakim kemudian mengarahkan Mahfuz membayar ganti rugi RM250,000 kepada Sanusi.

Tahun lalu Mahkamah Rayuan mengarahkan Sanusi membayar ganti rugi RM120,000 kepada Mahfuz ekoran saman fitnah yang dikemukakan bekas ahli parlimen Pokok Sena itu.

Kenyataan fitnah Sanusi kepada Mahfuz itu berkaitan isu pemindahan kedai judi dan dimuat naik di Facebook pada 30 Julai 2019.

Menurut Mahfuz dia berharap semua pihak termasuk penyokong Sanusi dapat bersabar bagi memberi ruang kepada proses perundangan berjalan seperti sepatutnya.

"Kepada mereka (penyokong Sanusi), saya harap mereka dapat bersabar.

"Saya akan tetap hormati kalau mahkamah pada akhirnya memutuskan saya perlu membayar kepada Sanusi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS