Mufti Perlis mempertahankan tindakan masjid-masjid di negeri itu memberi wang antara RM3 ke RM5 kepada murid-murid sekolah rendah yang hadir sembahyang Subuh berjemaah.

Asri Zainul Abidin berkata perkara itu bukan bidaah tetapi galakan kepada golongan itu supaya gemar mengunjungi masjid.

Katanya, Nabi Muhammad sendiri ada memberikan hadiah kepada sahabat yang pandai berdoa.

“(Kesan usaha ini) ramailah orang mai solat Subuh, (dari kalangan) budak-budak. 

“Mudah-mudahan lekatlah dia (berterusan datang ke masjid). 

“Bukan senang nak sembahyang Subuh ini,” katanya dalam video di saluran Dr Maza Channel sebentar tadi.

Asri juga berkata dia menyaksikan sendiri perkembangan baik apabila ada kanak-kanak yang datang sendirian untuk sembahyang subuh, tanpa ditemani ibu bapanya.

Gambar hiasan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) memulakan acara dinamakan ‘Program Rezeki Subuh’ selama 40 hari mulai semalam.

Maips memperuntukkan dana RM334,000 untuk sumbangan RM3 untuk kanak-kanak yang hadir bersembahyang Subuh berjemaah di masjid.

Bagaimanapun, menurut mufti Perlis, terdapat juga masjid yang memberikan bayaran lebih tinggi iaitu RM5.

 Program itu melibatkan semua 101 buah masjid di Perlis.

Sementara itu, Asri juga menegur pihak yang mempersoalkan tindakan itu dengan menyindir Perlis melakukan bidaah atau amalan yang direka-reka.

“Dia tak faham. Dia kata orang nak buat tak boleh, Perlis buat bidaah boleh.

“(Kata mereka) kalau nak bidaah-budaan sangat pergi naik untalah,” katanya.

Asri bagaimanapun menegur mereka supaya menjaga turut kata supaya jangan sampai menghina atau mempersendakan hukum.