Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyokong Najib 'jauhi' taklimat tertutup Zahid
Diterbitkan:  Feb 5, 2024 9:00 PM
Dikemaskini: Feb 6, 2024 12:23 AM

Ketiadaan beberapa ketua Umno di peringkat bahagian dalam perjumpaan tertutup bersama presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, di ibu negara semalam dipercayai berpunca daripada rasa kecewa mereka terhadap keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Beberapa pemimpin bahagian yang dihubungi Malaysiakini memberitahu, mereka "tidak berminat" untuk mendengar penjelasan daripada Ahmad Zahid.

"Saya tak hadir pertemuan tu, tidak berminat," kata salah seorang daripada mereka yang dilihat merupakan kumpulan yang cenderung kepada Najib Razak.

Semalam, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua bahagian Umno bagi memberi penjelasan berhubung keputusan lembaga pengampunan terhadap hukuman ke atas Najib.

Seramai 145 daripada 191 ketua bahagian menghadirkan diri dalam pertemuan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu. Ia menjadikan seramai 46 ketua bahagian tidak menghadirkan diri.

Sebelum itu Umno menangguhkan Kolokium Prakongres Ekonomi Bumiputera yang dijadual diadakan di WTC Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

Kolokium itu yang dikendalikan Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, sepatutnya dihadiri 2,000 pemimpin Umno daripada seluruh negara.

Ahmad Zahid Hamidi

Penangguhan kolokium itu dibuat bagi memberi laluan kepada mesyuarat khas Umno yang membincangkan perkembangan politik mutakhir khususnya bersangkutan dengan pengurangan tempoh hukuman terhadap Najib.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Petaling Jaya, Mutalif Abdul Rahim, berkata dalam perjumpaan tersebut Ahmad Zahid menyeru ketua-ketua bahagian supaya terus bersama dengannya memperjuangkan keadilan buat Najib.

Katanya, mereka semua menghormati keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong dan akan menggunakan lunas undang-undang bagi membela bekas perdana menteri terbabit.

"Presiden kata kita (Umno) hormati titah Tuanku, kita akan terus istiqamah, menjunjung kasih, memperjuanga keadilan buat Datuk Seri Najib semoga di suatu masa Datuk Seri Najib akan dapat keadilan yang sewajarnya dan semua yakin.

"Sampaikan presiden berkata: sahabat-sahabat sekalian, doakan... kita akan berusaha mendapatkan keadilan untuk Datuk Seri Najib," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelas Mutalif Umno menghormati keputusan Agong yang mempunyai kuasa mutlak, namun sedih mengenangkan nasib Najib yang banyak berjasa kepada negara.

Lihat Komen
ADS