Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan 63 sekolah persendirian Cina akan menerima peruntukan RM18.9 juta pada 2024.

Katanya, dengan pertambahan peruntukan itu, setiap dari 63 sekolah persendirian Cina itu bakal menerima RM300,000.

Tahun lepas, peruntukan khas daripada kerajaan ialah RM15.75 juta, dengan sekolah masing-masing menerima RM250,000.

Menteri itu berkata peruntukan khas tersebut tanda kerajaan memahami cabaran kewangan ketara yang dihadapi oleh sekolah persendirian Cina.

Loke berharap amalan pemberian dana awam kepada sekolah persendirian Cina akan diteruskan pada masa hadapan.

“Tidak kira siapa yang membentuk kerajaan, saya harap (peruntukan khas untuk sekolah persendirian Cina) menjadi standard dan amalan baru,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan peruntukan secara simbolik di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di Kuala Lumpur hari ini.

Dia juga berharap peruntukan seperti itu dapat diagihkan sebelum Tahun Baru Cina setiap tahun.

Loke berkata dia telah menyampaikan perkara ini ketika membincangkan peruntukan itu dengan Perdana Menteri Anwar pada 19 Januari.

"Saya kata apabila kita memberikan peruntukan itu, kita mesti melakukannya dengan ikhlas, terutama untuk masyarakat Cina, dan cuba mengumumkannya sebelum Tahun Baru Cina. Ini adalah tanda penghormatan kepada masyarakat Cina."

"Sebab sebagai orang Cina, (menjadi adat) kita tidak sepatutnya mempunyai hutang semasa Tahun Baru Cina.

“Kita mesti melangsaikan semuanya sebelum itu," katanya.

Loke berkata dana itu telah pun disalurkan kepada sekolah berkenaan pada Jumaat lalu.

Walaupun berharap peruntukan itu diteruskan pada masa akan datang, Loke menjelaskan buat masa ini ia bukan sebahagian daripada Belanjawan Persekutuan.

Sebaliknya, dia menjelaskan peruntukan khas tersebut daripada Kementerian Kewangan, tetapi memberi jaminan bahawa ia akan diberikan setiap tahun.

Loke juga berkata kerajaan akan menghantar surat secara simbolik kepada Kementerian Kewangan pada setiap tahun meminta peruntukan itu supaya sekolah tidak perlu memohon secara individu.

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Tan Tai Kim (gambar bawah) berharap peruntukan ini akan menjadi sebahagian daripada belanjawan supaya ia terjamin.

Jelasnya, sekolah persendirian Cina tergolong dalam institusi pendidikan swasta bukan bermatlamatkan keuntungan.

Tan berkata sumbangan dana daripada masyarakat dan peruntukan kerajaan digunakan untuk sekolah, guru dan pelajar bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Ini seterusnya menyumbang pemupukan bakat demi kemakmuran dan kemajuan negara, katanya.

"Sekiranya kerajaan dapat menegakkan semangat keadilan, kesetaraan, cintakan rakyat dan penggunaan bakat secara bijak dalam tadbir urusnya, sudah pasti ia akan meningkatkan keyakinan dan semangat kebersamaan di kalangan rakyat," kata Tai dalam ucapannya pada majlis sama.

Tan turut menggesa kerajaan negeri mencontohi kerajaan persekutuan dengan menambah peruntukan tahunan untuk sekolah persendirian Cina, sekali gus mengurangkan masalah kewangan setiap sekolah.

Penyerahan cek olok-olok RM18.9 juta hari ini disaksikan Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Timbalan Menteri Perhubungan Teo Nie Ching, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan 55 wakil sekolah persendirian Cina.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke jditanya kemudian mengenai peruntukan untuk institusi pengajian tinggi swasta, iaitu Kolej Universiti Selatan, Kolej Universiti Era Baru, Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang.

Jawabnya, perkara berkenaan masih dalam penilaian di bawah semakan prosedur.

Loke berkata buat masa ini peruntukan itu kekal untuk sekolah persendirian sahaja.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS